Khamis, 4 Mei 2017 | 8:12am

Dipenjara cuba tipu DreamWorks Animation


GAMBAR fail, watak Po di Tayangan Perdana "Kung Fu Panda 3" di Teater TCL Cina di Hollywood, California pada Januari tahun lalu. - Foto REUTERS

BOSTON: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas didapati bersalah cuba menipu studio animasi, DreamWorks Animation, menerusi saman hak cipta palsu yang mendakwa ia mencuri karektor dan ceritanya bagi filem 'Kung Fu Panda.'

Pendakwa raya di Boston berkata, selepas menyaksikan trailer filem animasi yang belum ditayangkan itu pada 2008, Jayme Gordon memalsu dan mengubah tarikh lukisan karektor sama dengan filem itu bagi digunakan untuk memfailkan saman terhadap syarikat berkenaan.

Sebelum itu, dia menghasilkan beberapa lukisan dan cerita mengenai panda yang dikatakan hampir menyamai karektor filem itu.

Selepas menyaksikan trailer, Gordon menyemak semula lukisan dan ceritanya dan menamakan ia semula 'Kung Fu Panda Power', kata pendakwa raya.

Pada 2011, Gordon menyaman DreamWorks bagi pelanggaran hak cipta dan mencadangkan ia menyelesaikan saman sebanyak AS$12 juta (RM51 juta).

DreamWorks menolak cadangan itu dan mengambil tindakan undang-undang.

Penipuannya terbongkar selepas DreamWorks mendapati sebahagian lukisan Gordon dikesan daripada buku mewarna memaparkan karektor filem The Lion King terbitan Walt Disney Co pada 1994. - Reuters

122 dibaca
Berita Harian X