Khamis, 4 Mei 2017 | 7:00am

Perdana baharu raih anugerah MGDM


RADZAIF (tengah) menerima anugerah pengiktirafan MGDM daripada Abu Bakar pada majlis yang berlangsung di Shah Alam, baru-baru ini.

PROTON Holdings Bhd (PROTON) mengumumkan Proton Perdana serba baharu menerima pengiktirafan 'Malaysia Good Design Mark' (MGDM) daripada Majlis Reka Bentuk Malaysia (MDC).

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata Perdana serba baharu yang dilancarkan secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu menerima pengiktirafan itu berdasarkan reka bentuk terbaik bagi produk lengkap yang dibangunkan dan dikeluarkan oleh tenaga tempatan.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan keupayaan PROTON dalam mereka bentuk dan menghasilkan kereta mampu milik serta berdaya saing bagi keselesaan pengguna.

"Kami sangat teruja dengan pengiktirafan daripada MDC kepada model Perdana dan ia adalah penghargaan kepada usaha berterusan dalam pembangunan kereta terbabit.

"Anugerah ini tentunya menyuntik semangat kepada PROTON untuk bekerja lebih keras dalam menyediakan kereta dengan rekaan dan kejuruteraan yang lebih baik kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan.

Anugerah itu dimenangi Perdana untuk kategori Kawasan Umum dan Produk Pengankutan yang telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Radzaif Mohamed pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam, baru-baru ini.

MGDM ialah program pengiktirafan reka bentuk oleh kerajaan Malaysia di bawah MDC bagi menghargai industri tempatan yang berjaya menghasilkan produk berkualiti menerusi penyelidikan dan pembangunan(R&D).

Selain Perdana, Proton Satria Neo dan Persona generasi sebelum ini turut pernah menerima anugerah MGDM pada 2007 dan 2014.

Pada 2016, Perdana juga dianugerahkan 'Best Local Car Design of the Year 2016, oleh Carsifu Editors' Choice Award di bawah The Star Media Group.

INFO

  • MGDM ialah program pengiktirafan reka bentuk oleh kerajaan Malaysia di bawah MDC bagi menghargai industri tempatan yang berjaya menghasilkan produk berkualiti menerusi penyelidikan dan pembangunan(R&D).
  • Selain Perdana, Proton Satria Neo dan Persona generasi sebelum ini turut pernah menerima anugerah MGDM pada 2007 dan 2014.
  • Pada 2016, Perdana juga dianugerahkan 'Best Local Car Design of the Year 2016, oleh Carsifu Editors' Choice Award di bawah The Star Media Group.
32 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »