Rabu, 3 Mei 2017 | 6:13pm

Nidzam dipertimbang jadi jurulatih Helang Merah

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mempertimbangkan untuk melantik Nidzam Adzha Yusoff sebagai jurulatih pasukan Helang Merah sekiranya prestasi yang ditunjukkan memberangsangkan.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata walaupun pihaknya sudah mempunyai senarai calon jurulatih, KFA tetap memberi kepercayaan kepada penolong jurulatih itu untuk mengendalikan pasukan Kedah terlebih dahulu.

"Kita lihat dulu prestasi Nidzam, beliau ada pengalaman melatih pemain Kedah bersama Tan Cheng Hoe, jadi beliau sudah ada momentum yang diperlukan untuk setiap perlawanan.

"Setakat ini, kita nampak peningkatan apabila pasukan Kedah berjaya mengalahkan Terengganu 1-0 pada perlawanan (separuh akhir pertama Piala FA) baru-baru ini.

"Kita akan tengok prestasi dia mengendalikan pasukan, jika cemerlang mungkin dia yang akan diambil untuk mengisi jawatan jurulatih.

"Kita masih ada beberapa lagi baki perlawanan sehingga Ramadan nanti. KFA memerlukan Nidzam kerana beliau adalah jurulatih yang sudah serasi dengan pemain buat masa sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Kepada Guru Tuisyen Barakah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Ahmad Bashah berkata sehingga kini pihak KFA mempunyai tiga calon jurulatih baharu, namun masih belum ditentukan kerana ada beberapa perkara yang perlu diteliti terlebih dahulu.

Kekosongan jawatan itu berlaku berikutan peletakan jawatan Cheng Hoe sebagai jurulatih Kedah pada 1 April lalu selepas menerima tawaran menjadi pembantu jurulatih skuad Harimau Malaya.

40 dibaca
Berita Harian X