Selasa, 2 Mei 2017 | 9:03pm

Nidzam tetap fokus aksi temu Terengganu

ALOR SETAR: Pemangku ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff enggan memikirkan prospek mengendalikan Lang Merah secara sepenuh masa, sebaliknya fokusnya kini menjurus ke arah aksi separuh akhir kedua Piala FA bertemu Terengganu, 13 Mei depan.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kini melihat Nidzam sebagai antara calon sesuai untuk mengisi tempat ditinggalkan bekas jurulatih, Tan Cheng Hoe susulan prestasi separuh akhir pertama menentang Terengganu di Stadium Darul Aman, minggu lalu.

KFA menerusi Naib Presiden II yang juga pengurus pasukan Kedah, Datuk Jeffrey Low Han Chow sebelum ini memaklumkan akan memberi ruang kepada Nidzam yang dikatakan berada dalam perancangan persatuan itu.

Namun bagi bekas pemain kebangsaan itu yang bertindak mengemudi kemenangan 1-0 ke atas Terengganu pada aksi pertama Ahad lalu, beliau tidak mahu mengulas jawatan calon jurulatih yang hangat diperkatakan ketika ini.

"Saya tiada komen untuk jawatan atau calon jurulatih... cuma saya mahu kekal fokus buat masa ini untuk aksi timbal balik separuh akhir Piala FA menentang Terengganu pada 13 Mei nanti yang akan menentukan peluang ke final."

Sementara itu, pemain senior Kedah Baddrol Bakhtiar mengakui selesa dibimbing Nidzam kerana semua pemain sudah biasa dengan arahan yang diberikan oleh bekas pemain itu yang sudah dua tahun bersama pasukan.

"Kami sudah memahami segala perancangan dan arahan yang diterapkan oleh Nidzam Adzha sejak bersama bekas jurulatih Tan Cheng Hoe pada 2015.

"Corak latihan yang diamalkan hasil gandingan Tan Cheng Hoe dan Nidzam Adzha sudah sebati hingga Kedah mencapai kejayaan ke peringkat ini sejak 2014 dan ia membuatkan kami bersemangat dan yakin.

"Jadi kami hanya meneruskan saja fokus dalam latihan untuk memastikan impian Kedah ke final Piala FA menjadi kenyataan.

"Berkenaan calon ketua jurulatih pula, kami berharap pihak KFA dapat menentukan pilihan yang bersesuaian dan terbaik untuk kami," kata Baddrol.

Nidzam boleh dianggap antara pemain terbaik pernah dimiliki Kedah apabila merangkul beberapa kejayaan utama, termasuk Juara Liga Divisyen 1 pada 1993, Juara Piala Malaysia 1993, Juara Piala Sumbangsih 1994 dan Juara Piala FA 1996.

Sebagai jurulatih, kewibawaannya dapat dilihat ketika menjadi Penolong Jurulatih di TNB Kelantan pada 2005 hingga 2006, Penolong Jurulatih KM NAZA (2007-2009), Ketua Jurulatih Perlis (2010), Ketua Jurulatih Sime Darby (Presiden) 2011, Ketua Jurulatih Kedah (Presiden) 2012, Penolong Jurulatih Felda United (2013 -2014) dan Penolong Jurulatih Kedah dari 2015 hingga kini.

KFA sehingga kini masih belum membuat sebarang keputusan untuk menamakan ketua jurulatih Kedah yang baharu, namun memaklumkan di samping Nidzam, mereka juga sedang mempertimbangkan beberapa calon luar negara dan tempatan.

43 dibaca
Berita Harian X