Khamis, 27 April 2017 | 8:39pm

Latif fokus pertahan gelaran paralimpik dunia


LATIF mencipta sejarah sebagai atlet paralimpik pertama dinobatkan Olahragawan Kebangsaan semalam. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Olahragawan negara 2016, Abdul Latif Romly menjadikan misi mempertahankan gelaran dunia miliknya sebagai keutamaan apabila menghadapi Kejohanan Olahraga Dunia IPC 2017 di London, Julai ini.

Latif yang mencipta sejarah sebagai atlet paralimpik pertama dinobatkan Olahragawan Kebangsaan semalam, memenangi gelaran dunia pertamanya dalam acara lompat jauh T20 pada kejohanan di Doha, Qatar pada 2015.

Sejak Anugerah Sukan Negara (ASN) dipertandingkan pada 1966, ini kali pertama atlet kelainan upaya memenangi anugerah berprestij itu, namun bagi Latif, fokusnya tidak terganggu di sebalik kejayaan itu.

"Tumpuan saya ketika ini adalah untuk menghadapi Kejohanan Olahraga Para Dunia IPC di London dan fokus kepada latihan yang ketika ini sudah berada dalam fasa terakhir," kata Latif ketika ditemui selepas majlis berkenaan, semalam.

"Selain itu, beraksi di Sukan SEA juga antara sasaran saya kerana setahu saya, nama saya sudah pun tersenarai untuk beraksi di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur Ogos ini."

Pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC 2015 di Doha, Abdul Latif memenangi emas selepas melakukan catatan 7.35 meter (m) yang juga rekod dunia ketika itu, sebelum memperbaikinya di Sukan Paralimpik Rio tahun lalu, dengan catatan 7.60m.

Jika bersandarkan kepada rekod dunia yang dibuat Abdul Latif di Rio, ia melebihi syarat kelayakan ke Sukan SEA 2017 iaitu 7.52m, namun catatan terbaiknya pada tahun ini hanyalah 7.40m yang dilakukan di Terbuka Perak, Februari lalu.

Sekiranya ingin melayakkan diri, Latif perlu melepasi catatan 7.52m dan mengiringi atlet normal, Luqman Hakim Ramlan yang melepasi syarat kelayakan selepas melakukan catatan terbaik 7.62m pada Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia di Lumut, bulan ini.

123 dibaca
Berita Harian X