Selasa, 25 April 2017 | 2:48pm

Bank Dunia dan IMF iktiraf Malaysia

KUALA LUMPUR: Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengiktiraf Malaysia sebagai antara negara yang terbaik di dunia dalam pelan perancangan ekonomi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata perkara itu dinyatakan wakil Bank Dunia dan IMF dua minggu lalu ketika berkunjung ke pejabatnya di Putrajaya.


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. - Foto Saddam Yusoff

Katanya, pengiktirafan itu menjadikan Malaysia setaraf dengan negara dalam Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

"Saya bangga kerana dengan pengalaman kita merancang ekonomi yang tersusun dan melaksanakannya dengan cepat, kita diiktiraf.

"Negara lain turut mempunyai pelan rancangan ekonomi, tetapi lambat dan gagal merealisasikannya.

"Pengiktirafan ini menjadikan Malaysia salah satu di dunia yang terbaik merancang ekonomi dan kini sama taraf dengan negara dalam OECD," katanya kepada media selepas menjadi ahli panel pada Bengkel Peringkat Menteri ASEAN 2017 - Mengemudi Halangan Pembangunan Mapan di Universiti Sunway di sini, hari ini.

Bank Dunia dalam laporan terbaharunya menyatakan Malaysia adalah satu daripada 13 negara yang dikenal pasti dalam Laporan Pertumbuhan oleh Suruhanjaya Pertumbuhan dan Pembangunan mencatatkan pertumbuhan purata lebih tujuh peratus setahun dalam tempoh 25 tahun.

129 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »