Sabtu, 22 April 2017 | 3:40pm

'Tolak janji kosong pembangkang'


KETUA UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam. - Foto Khairunisah Lokman

MELAKA: Pengundi kawasan Parlimen Bukit Katil 'kehilangan' pembangunan selama empat tahun tanpa sebarang manfaat dibawa pembangkang sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam, berkata pengundi Bukit Katil perlu mengakui sumbangan kerajaan dalam membawa pembangunan dan kemakmuran, bukannya terpengaruh dengan janji kosong pembangkang.

Katanya, gesaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya Barisan Nasional (BN) Melaka merampas kembali Parlimen Bukit Katil yang kini disandang PKR perlu diambil serius.

"Kita melakukan segala-galanya untuk pengundi Bukit Katil seperti menyelesaikan isu banjir, membina jambatan, menyediakan rumah mampu milik dan membina masjid serta kuil untuk rakyat.

"Pengundi perlu menghargai sumbangan kerajaan dan menterjemahkannya dalam bentuk undi dalam PRU akan datang," katanya.

Beliau ditemui pada program bersama anak yatim anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Peringatan Hari Polis ke-210 2017 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan.

Semalam, Najib meletakkan indeks prestasi utama (KPI) kepada BN Melaka untuk merampas kembali beberapa kerusi yang terlepas kepada pembangkang pada PRU lalu, khususnya Parlimen Bukit Katil.

Mohd Ali berkata, kehadiran kira-kira 70 peratus jentera Jalinan Rakyat (JR) Bahagian Bukit Katil di Seri Bendahara, adalah petunjuk jelas ke arah meningkatkan gerak kerja menghadapi PRU akan datang.

"Surat lantikan sudah diberi. Kita akan mengadakan lagi pertemuan dengan JR Bukit Katil, untuk memastikan jentera kuat dan bersedia merampas kerusi Parlimen Bukit Katil," katanya.

Berita Harian X