Jumaat, 21 April 2017 | 10:24pm

Norza mampu bawa perubahan besar - Chong Wei


JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei percaya pelantikan Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria(gambar kecil) sebagai presiden baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mampu membawa perubahan besar dalam badan induk itu terutama dalam melahirkan lebih ramai pemain bertaraf dunia. - Foto Hasriyasyah Sabudin.

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei percaya pelantikan Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sebagai presiden baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mampu membawa perubahan besar dalam badan induk itu terutama dalam melahirkan lebih ramai pemain bertaraf dunia.

Sambil mengakui barisan pemain negara sangat selesa bekerjasama dengan Norza sepanjang beliau memegang jawatan timbalan presiden, Chong Wei, berkata dia sedia membantu untuk meningkatkan tahap badminton negara ke peringkat lebih tinggi.

"Datuk Seri Norza memang rapat dengan pemain. Jadi, apabila beliau bakal dilantik menjadi presiden nanti, saya percaya beliau mampu membawa perubahan untuk BAM.

"Fokus sudah pasti terarah terhadap proses pembangunan pemain, bagaimana kita mahu lahirkan lebih ramai pemain bertaraf dunia.

"Saya pasti Datuk Seri Norza akan mengadakan perbincangan dengan jurulatih mengenai perancangannya nanti, saya juga sedia untuk memainkan peranan sebagai pemain senior," kata Chong Wei ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, hari ini.

Mengulas lanjut, pemain nombor satu dunia itu percaya sebagai pemimpin muda, Norza pastinya mempunyai idea-idea baharu bagi merealisasikan misi meletakkan Malaysia dalam kelompok tiga terbaik dunia menjelang 2020.

"Datuk Seri Norza masih muda, beliau pastinya mempunyai idea yang lebih segar bagi memastikan badminton negara terus berkembang.

"Jadi, saya percaya mudah untuk semua pihak bekerjasama dengan beliau," katanya yang berlepas ke Wuhan, China hari ini bagi menyertai Kejohanan Badminton Asia bermula Selasa ini.

33 dibaca
Berita Harian X