Jumaat, 21 April 2017 | 9:57pm

Pengendalian kargo Pelabuhan Bintulu naik 46.45j tan


KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Holdings Bhd, Datuk Mohammad Medan Abdullah melihat buku laporan tahunan selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-21 syarikat di Kuching, hari ini. - Foto BERNAMA

KUCHING: Semua kategori kargo utama di Pelabuhan Bintulu mencatatkan kenaikan pada 2016 berbanding angka tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Holdings Bhd, Datuk Mohammad Medan Abdullah, berkata tahun itu menyaksikan keseluruhan kendalian kargo yang dikendalikan kumpulan itu meningkat 3.7 peratus daripada 44.81 juta tan pada 2015 kepada 46.45 juta tan.

Pengendalian kapal dan kargo gas asli cecair (LNG) kekal sebagai penyumbang hasil utama kepada Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB) pada 2016.

Pada tahun itu Bintulu Port berjaya memperoleh kontrak bagi menyediakan perkhidmatan sokongan asas kepada syarikat berkaitan minyak dan gas seperti Petronas Carigali Sdn Bhd, Petronas Floating LNG Sdn Bhd dan Murphy Oil Sarawak bagi tempoh kontrak tiga hingga lima tahun.

Ia membabitkan penyediaan kawasan simpanan (gudang dan ruang terbuka), peralatan pengendalian bahan, peralatan pengendalian kargo, pengendalian penumpang, pemaliman, bekalan kontena dan perkhidmatan lain," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-21 syarikat di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, yang juga Pengerusi Bintulu Port Holdings.

Mohammad Medan berkata, BPSB akan terus menumpukan kepada sektor pertumbuhan utama lain dan meningkatkan kecekapan dalam pengendalian kargo khusus untuk berfungsi sebagai penjana pendapatan yang berpotensi, terutamanya minyak sawit, kontena, baja, kayu serpai, produk isirung sawit dan biojisim.

Beliau berkata, kendalian akhir Biport Bulkers Sdn Bhd (BBSB), anak syarikat Bintulu Port Holdings Bhd bagi tahun itu ialah sebanyak 3.65 juta tan, pencapaian tertingginya sejak memulakan operasi pada 2004 dan lebih baik sedikit berbanding keputusan 2015.

"Pelanggan utama BBSB ialah Wilmar, yang adalah kumpulan minyak sawit utama global, dan juga syarikat minyak sawit utama Sarawak iaitu Sime Darby, Sarawak Oil Palm dan Kirana," katanya.

BERNAMA

Berita Harian X