Rabu, 24 Mei 2017 - 8:34AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Mamat Khalid masuk ICU akibat sesak nafas

Oleh Farhana Ab Rahman



PENGARAH filem terkenal, Mamat Khalid. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Pengarah filem terkenal, Mamat Khalid, 54, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di ibu kota hari ini selepas mengadu sesak nafas sekitar jam 9 pagi tadi.

Isterinya, Hasmah Hassan, memberitahu BH Online, suaminya itu bagaimanapun berada dalam keadaan stabil, namun tetap berada di bawah pemantauan doktor berikutan tekanan darahnya yang tinggi.

"Suami saya mengadu sesak nafas kira-kira pukul 9 pagi tadi. Bimbang dengan keadaan kesihatannya, kami terus membawa Abang Mamat untuk mendapatkan rawatan.

"Lagipun, malam sebelumnya, Abang Mamat menghadiri majlis pratonton filem terbarunya, Lebuhraya Ke Neraka, dan pulang lambat ke rumah," kata Hasmah.

Hasmah berkata, doktor juga tidak membenarkan Mamat menerima kunjungan pelawat ketika ini bagi membolehkan beliau mendapatkan rehat secukupnya.

Tambahnya, sekiranya bacaan tekanan darah pengarah terbabit kembali normal, berkemungkinan suaminya itu akan dibenarkan pulang.

"Saya berharap semua peminat mendoakan kesihatan Abang Mamat kembali pulih seperti biasa. Insya-Allah, semuanya akan baik," kata Hasmah.

Filem terkini karya Mamat, Lebuhraya Ke Neraka, terbitan Grand Brilliance dan edaran Primeworks Distribution mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 4 Mei depan.

Filem bercorak seram kerohanian terbabit menampilkan barisan pelakon seperti Datuk Awie, Khir Rahman, Dazrin Kamarudin, Shah Jaszle, Miera Leyana dan Fatin Syahirah.


Trending

    Disyorkan