Jumaat, 21 April 2017 | 9:26pm

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, diheret turun jangkaan harga minyak mentah yang rendah, selain selari prestasi lemah bursa serantau.

Pada 6 petang, unit tempatan disebut harga pada 4.3980/3000 berbanding dolar AS daripada 4.3960/3000 pada penutupan Khamis.

Peniaga berkata, laporan berita menyebut penanda aras Brent dan West Texas Intermediate bakal menyaksikan penurunan masing-masing 5.2 peratus dan 4.6 peratus pada Jumaat, selepas pelabur menyuarakan kebimbangan akibat kesan pengurangan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum.

"Penurunan harga minyak mentah dunia akan menjejaskan pendapatan Malaysia menerusi sektor minyak dan gas, dan sehubungan itu, mengurangkan minat pelabur ke atas nota tempatan," katanya.

Selain itu, ketegangan geopolitik membabitkan Korea Utara, serta ketidaktentuan yang membelenggu pemilihan Presiden Perancis serta pilihan raya umum di United Kingdom, mengurangkan minat dalam kalangan pelabur untuk mengambil risiko ke atas mata wang Asia, termasuk ringgit. Pada penutupan, ringgit didagangkan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Unit tempatan didagangkan tinggi berbanding yen Jepun pada 4.0286/0315 daripada 4.0312/0352 pada Khamis, kukuh berbanding pound British kepada 5.6259/6298 daripada 5.6392/6452 serta mengukuh berbanding euro kepada 4.7076/7111 daripada 4.7310/7366.

Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1466/1485 daripada 3.1465/1498.

BERNAMA

Berita Harian X