Khamis, 27 April 2017 - 5:11PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, didorong sentimen pasaran positif.

Pada 5 petang, petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 14.44 mata atau 0.83 peratus kepada 1,756.06 berbanding 1,741.61 ketika ditutup semalam.

Penanda aras pasaran itu dibuka dengan mencatat kenaikan sebanyak 0.62 mata kepada 1,742.23 pada pagi ini dan mencecah paras terendah pada 1,742.23 sebelum bergerak dalam momentum positif sepanjang tempoh dagangan.

Peningkatan itu yang seiring aliran dicatatkan bursa serantau, juga disokong momentum belian ketara saham berkaitan indeks, bermodal kecil serta berwajaran tinggi yang didahului oleh Maybank.

Malah Maybank muncul pemacu indeks komposit itu sebanyak 5.55 mata apabila menokok 32 sen kepada RM9.40 dengan sebanyak 41.14 juta saham bertukar tangan.

Keuntungan sama turut diraih dua saham berwajaran tinggi lainnya iaitu Genting Malaysia dan CIMB yang naik 39 sen dan 11 sen setiap satu masing-masing kepada RM5.98 dan RM5.61 dan muncul antara penyumbang utama kenaikan indeks komposit berkenaan.

Sentimen pasaran di Bursa Malaysia positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 588 berbanding 320 manakala 386 kaunter tidak berubah, 457 tidak didagangkan dan 17 lain digantung.

Jumlah dagangan melonjak kepada 3.12 bilion unit bernilai RM2.65 bilion daripada 2.64 bilion unit bernilai RM2.24 bilion, pada Khamis.

BERNAMA


Trending

    Disyorkan