Jumaat, 21 April 2017 | 9:18pm

FIC sokong anak syarikat cari rakan strategik baharu


PENGERUSI FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) sentiasa menyokong anak syarikatnya untuk terus mencari rakan strategik baharu bagi memperluaskan perniagaan di dalam dan luar negara.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata langkah itu sejajar objektif utama penubuhan FIC menumpukan perniagaan strategik melalui pemerolehan atau kerjasama yang mungkin memberi faedah kepada syarikat serta pihak berkepentingan dalam jangka panjang.

"Menerusi pemilihan rakan strategik berpotensi, ia akan membantu mewujudkan pelaburan serta perniagaan baharu, " katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke IRIS Corporation Bhd (IRIS) di sini, hari ini.

Sempena lawatan itu, Shahrir berkata, FIC akan terus mengekalkan pegangan sahamnya 22 peratus dalam IRIS serta menyokong perkembangan syarikat berkenaan.

IRIS yang mempunyai kepakaran dalam menghasilkan peralatan dan cip elektronik pengenalan diri seperti Mykad dan pasport sedang meninjau peluang kerjasama dengan sebuah syarikat berteknologi biometrik antarabangsa.

Mengulas mengenai cadangan kerjasama itu, Shahrir berkata, pihaknya gembira dengan pemilihan rakan strategik berkenaan kerana ia mampu memberi satu bentuk pelaburan serta perniagaan baharu.

Dalam perkembangan lain, katanya, FELDA berusaha untuk menyelesaikan masalah dalam kalangan peneroka menerusi pendekatan media sosial.

"Kaedah itu diperkenalkan supaya ia tidak terlalu bergantung kepada saluran rasmi sedia ada yang mungkin membabitkan proses birokrasi yang panjang.

"Menerusi pendekatan baharu itu, pengurusan FELDA akan melayan aduan serta masalah yang diterima dalam tempoh 48 jam.

"Kita sentiasa menerima aduan serta masalah melalui pelbagai platform dan FELDA mengiktiraf peranan media sosial sebagai medium penghubung antara pengurusan tertinggi sehingga ke peringkat peneroka dan anak peneroka," katanya.

Info:

- FIC adalah anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti perniagaan bukan perladangan.

- Ia ditubuhkan pada 2 Julai 2013

32 dibaca
Berita Harian X