Khamis, 27 April 2017 - 5:02PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

MH370 dipercayai 'berkubur' di utara lokasi pencarian


GAMBAR yang disiarkan oleh Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO) menunjukkan contoh bahagian sayap dikenali sebagai flaperon pesawat

SYDNEY: Pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia yang kehilangannya masih satu misteri dipercayai 'berkubur' di kawasan pencarian sebelum ini iaitu satu lokasi terpencil di bahagian utara Lautan Hindi.

Laporan terbaharu itu memberi harapan untuk kemungkinan pesawat itu ditemui satu hari nanti.

Operasi pencarian besar-besaran pesawat yang hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal pada 2014 itu dihentikan, Januari lalu selepas tiada sebarang petunjuk ditemui.

Misi pencarian berkenaan yang juga termahal dalam sejarah, dilakukan di bawah laut dengan diketuai Australia berdasarkan bacaan data satelit yang membayangkan pesawat itu mungkin terhempas di sekitar bahagian selatan Lautan Hindi.

Namun, rayuan oleh keluarga mangsa menyebabkan kawasan pencarian diluaskan ke bahagian utara lautan berkenaan berpandukan kepada analisis oleh pakar dari Australia dan antarabangsa pada Disember lalu.

Pasukan mencari turut menjumpai tiga bahagian pesawat di luar kawasan pencarian rasmi di bahagian barat perairan Lautan Hindi, antaranya bahagian sayap sepanjang dua meter yang terapung di pulau La Reunion.

Laporan oleh badan sains kebangsaan Australia, Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO) turut menyokong teori lokasi pesawat itu dengan menggunakan data dan analisis dari ujian yang dijalankan ke atas serpihan sayap Boeing 777 berkenaan.

Saintis CSIRO, David Griffin berkata, ujian yang dijalankan itu membuktikan kesahihan penemuan sayap MH370 di Pulau La Reunion pada Julai 2015.

"Tindak balas serpihan sayap pesawat itu kepada angin, ombak dan arus berpadanan dengan teori yang dibuat sebelum ini," katanya.

Laporan itu turut disokong Menteri Pengangkutan, Darren Chester yang berkata ia dibekalkan kerajaan Malaysia.

"Laporan CSIRO sudah diberi untuk satu pertimbangan dalam penyiasatan yang masih diteruskan selepas MH370 hilang" katanya dalam satu kenyataan.

AFP


Trending

    Disyorkan