Jumaat, 21 April 2017 | 8:01pm

Sufian Suhaimi 'terjun' dunia lakonan


PENYANYI, Sufian Suhaimi. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sufian Suhaimi memperkukuhkan langkah apabila menceburi pula arena lakonan menerusi penampilan pertama untuk telefilem raya berjudul Riuh Raya Kak Mah.

Katanya, biarpun hanya watak sampingan pengalaman berada di lokasi penggambaran untuk sebuah drama memberi persepsi baharu dalam kerjaya seni saya.

"Watak kecil saja pun. Saya hanya jadi cameo membawakan watak sebagai Sufian Suhaimi sendiri. Walau watak sendiri, ia bukan sesuatu yang mudah.

"Bagi saya ia memang satu pengalaman baharu. Biasa saya beraksi di atas pentas dengan menyanyi tetapi kali ini kamera pula di hadapan merakamkan setiap lontaran dialog dan pergerakan.

"Dua hari di lokasi, saya dapat rasakan cabarannya kerana menuntut komitmen serta minat yang tinggi. Lakonan itu membuatkan saya semakin biasa dengan terma 'call time' selain menunggu giliran babak.

"Bayangkan untuk babak beberapa minit yang disiarkan di kaca TV, pembikinannya memakan masa berjam-jam malah boleh jadi berhari-hari," kata calon dua kategori awal Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH 30 itu

Ditanya sama ada pengalaman itu mendorongnya untuk lebih serius berlakon, Sufian mengakui teruja untuk menggalas watak lebih besar andai ada tawaran lain.

"Saya tidak menyesal membuat percubaan sulung di dalam bidang lakonan. Jika mempunyai peluang dan bertepatan dengan masa, kenapa tidak saya terus mengasah bakat?, " katanya penyanyi berusia 25 tahun itu lagi.

Riuh Raya Kak Mah yang membariskan ramai pelakon handalan termasuk Kartina Aziz, Jalil Hamid, Elly Mazlein dan Shalma Ainaa dijadualkan disiarkan di Astro Warna pada musim raya nanti.

30 dibaca
Berita Harian X