Selasa, 23 Mei 2017 - 1:22AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

'Lampu hijau' untuk polis masuk sekolah siasat jenayah

Oleh Petah Wazzan Iskandar



MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PADANG TERAP: Kementerian Pendidikan memberi 'lampu hijau' kepada pihak polis masuk ke kawasan sekolah bagi menguatkuasakan undang-undang khususnya dalam mengekang pembabitan pelajar dalam kegiatan kongsi gelap.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kebenaran itu bukan untuk mengesan pelajar terbabit dalam kegiatan kongsi gelap saja malah jenayah lain.

"Polis sudah pastinya mempunyai bukti melalui risikan dan apabila mahu melakukan siasatan serta tangkapan, ia dibenarkan melakukannya dengan memaklumkan terlebih dahulu kepada pengetua sekolah terbabit dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

"Saya berikan kelonggaran 100 peratus untuk polis masuk ke sekolah laksanakan pencegahan dan tangkapan.

"Pengetua janganlah sembunyikan isu kongsi gelap, sebaliknya berilah kerjasama. Saya yakin pengetua akan membenarkan usaha pencegahan jenayah yang dilakukan polis bagi memastikan tiada warga sekolah terbabit dengan kongsi gelap," katanya selepas melancarkan Jelajah Iktiraf 2017 peringkat FELDA Lubuk Merbau di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas bahawa Kementerian Pendidikan tidak akan berkompromi terhadap pelajar yang terbabit dalam kegiatan jenayah kongsi gelap.

Ia susulan laporan 13 pelajar yang ditahan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) kerana menyertai kumpulan kongsi gelap Geng 24 di Klang, Selangor.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitter, pagi ini.


Trending

    Disyorkan