Khamis, 27 April 2017 - 5:48AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Tingkatkan gerak kerja hadapi PRU-14 - Najib

Oleh Fairuz Zaidan dan Amir Mamat



PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Pengerusi BN bersama kira-kira 1,000 Jentera Pilihan Raya BN Melaka di Seri Bendahara, Ayer Keroh, petang tadi. - Foto Rasul Azli Samad

AYER KEROH: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan semua jentera Barisan Nasional (BN) supaya meningkatkan prestasi gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, meskipun suasana politik pada ketika ini memihak kepada BN, namun ia tidak menjamin keselesaan pada PRU-14 akan datang.

"Suasana ketika ini meyakinkan kita, tetapi jangan terlalu yakin selagi wisel pilihan raya belum ditiup, kita masih ada masa untuk melakukan gerak kerja.

"Saya tak tahu bila pilihan raya...rasa-rasanya macam nak buat esok, tetapi kita kena pastikan jentera buat kerja berdasarkan kepada gerak kerja yang sudah kita tentukan," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Pengerusi BN bersama kira-kira 1,000 Jentera Pilihan Raya BN Melaka di Seri Bendahara, di sini, petang tadi.

Turut hadir, Pengerusi BN negeri yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Terdahulu, Najib mengadakan perjumpaan tertutup dengan kepemimpinan BN negeri selama kira-kira 25 minit.

Beliau yang juga Presiden UMNO turut memberi tanggungjawab kepada BN negeri untuk merampas kembali beberapa kerusi yang terlepas kepada pembangkang pada PRU lalu, khususnya kerusi Parlimen Bukit Katil.

Katanya, sasaran itu adalah indeks prestasi utama (KPI) untuk BN Melaka dan berharap ia dapat direalisasikan pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita mahu kerajaan yang kuat di Melaka walaupun pembangkang kata mahu kuburkan BN, tetapi hari ini kita pula yang kuburkan mereka.

"Jangan beri mereka peluang untuk mentadbir negara, sebab Malaysia adalah negara yang berjaya di bawah BN," katanya.


Trending

    Disyorkan