Jumaat, 21 April 2017 | 7:37pm

Azri sedia pikul tugas posisi tengah


PEMAIN KLHC, Muhammad Azri Hassan mengasak pemain TNB, Muhamad Azammi Adabi (kanan) pada aksi liga hoki premier Malaysia - TNB di Stadium Hoki Kuala Lumpur. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Ketika Stephen Van Huizen pening kepala memikirkan siapa yang layak memikul tugas di bahagian tengah pada kempen Piala Sultan Azlan Shah 2017 bermula 29 April ini, pemain tengah negara Azri Hassan bersedia menerima apa saja keputusan pengendalinya itu.

Saingan untuk merebut posisi tengah tampak sengit dengan lima pemain lain berpotensi disenaraikan antaranya Fitri Saari, Marhan Jalil, Nabil Fiqri Mohd Noor, Meor Muhamad Azuan Hassan serta Joel Van Huizen.

Namun bagi Azri, dia sudah bersedia menerima apa saja keputusan walaupun hakikatnya amat perit untuk ditelan.

Apa tidaknya, jika gagal terpilih ke kejohanan jemputan tertua itu bermakna peluang Azri disenaraikan kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun ini semakin kabur kerana Piala Sultan Azlan Shah menjadi pentas terakhir bagi Van Huizen menguji keserasian pemainnya.

"Memang sukar untuk mendapat tempat kerana setiap antara kami memiliki keistimewaan tersendiri.

"Untuk itu, saya perlu melipat gandakan usaha dan buktikan kepada jurulatih saya berhak dibawa ke Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh," kata perancang tengah berusia 25 tahun itu.

Dengan hanya 18 pemain akan dibawa, Van Huizen pasti menggugurkan lima pemain selepas dua aksi persahabatan melawan New Zealand pada Ahad dan Isnin ini.

Di Ipoh nanti, Malaysia dijadualkan membuka kempen melawan Jepun pada 29 April, diikuti Australia (30 April), Great Britain (2 Mei), New Zealand (3 Mei) dan India (5 Mei).

Ditanya mengenai pujian beberapa jurulatih yang menganggapnya sebagai antara pemain paling menonjol dalam saingan Liga Hoki Malaysia 2017, Azri yang sudah membuat 38 penampilan untuk negara mengambilnya sebagai tambahan semangat untuk lebih berjaya.

38 dibaca
Berita Harian X