Jumaat, 21 April 2017 | 7:31pm

Selangor tak sabar turunkan Andik


PEMAIN import Selangor, Andik Vermansyah (tengah) hadir dalam sesi latihan di Padang Kelab SUK Selangor selepas berehat lebih 4 bulan akibat kecederaan. - Foto Luqman Hakim Zubir

SHAH ALAM: Pengendali Selangor, P Maniam mengakui dia tidak gusar pemain sayap lincahnya, Andik Vermansyah sudah 'berkarat' meskipun tidak beraksi selama lebih empat bulan akibat kecederaan lutut yang dialaminya sebelum ini.

Jelas bekas pengendali Air Asia FC itu, dia yakin betapa 'Messi Indonesia' itu mampu menemui sentuhannya dengan dia tidak memerlukan tempoh yang panjang untuk kembali memperagakan prestasi yang terbaiknya apabila diturunkan selepas ini.

"Dia seorang pemain yang profesional jadi dia tahu kemampuannya dan apa yang perlu dia lakukan apabila sudah kembali bersama pasukan selepas berehat panjang.

"Saya tahu kadangkala kecederaan akan menjejaskan pemain daripada menunjukkan prestasi 100 peratus tetapi saya percaya dia tidak akan ada masalah untuk kembali ke tahap terbaiknya.

"Apapun, saya begitu mengharapkan dia dapat beraksi dengan baik kerana dia adalah tonggak pasukan ini dan kepulangannya adalah satu berita baik buat kami," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, hari ini.

Bekas pemain Persebaya Surabaya itu kembali menjalani latihan bersama pasukan The Red Giants semalam selepas kembali pulih daripada menjalani pembedahan lutut akibat kecederaan ketika beraksi di saingan Piala AFF Suzuki 2016.

Mengulas lanjut keadaan semasa Andik, Maniam menjelaskan pemain berusia 26 tahun itu masih perlu menjalani pemeriksaan kesihatan bagi menentukan dia sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya.

"Buat masa ini, dia hanya menjalani latihan dan saya rasakan dia tidak dapat diturunkan lagi dalam masa terdekat. Berkemungkinan kita perlu memantau keadaannya untuk dua minggu lagi.

"Kita perlu memastikan tahap kecergasannya dan keadaannya berada pada tahap yang terbaik untuk diturunkan pada aksi yang kompetitif selepas ini," katanya.

69 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »