Jumaat, 21 April 2017 | 7:08pm

C&C sasar jualan 70 peratus Mercedes CKD 2017


PENGARAH Urusan Serantau Jardine Cycle & Carriage Ltd (JC&C), Haslam Preeston. - Foto Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: Cycle & Carriage Bintang Bhd (C&C), pengedar kenderaan Mercedes-Benz terbesar di Malaysia, menjangka model kenderaan pemasangan tempatan (CKD) menyumbang sehingga 70 peratus kepada jualan syarikat tahun ini.

Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd sebelum ini menyatakan model CKD dapat menyumbang dua pertiga kepada jumlah jualan pada tahun ini.

Pengarah Urusan Serantau Jardine Cycle & Carriage Ltd (JC&C), Haslam Preeston, berkata model utama seperti S- class dan E-class dipasang dalam negara.

"Oleh itu, kami melihat kepada sumbangan daripada CKD dan unit siap dipasang (CBU) yang diimport pada nisbah 70:30, " katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat agung tahunan ke-49 C&C di sini, hari ini.

C&C adalah ahli JC&C yang disenaraikan di Singapura. Ia menjual kira-kira 11,800 unit kenderaan penumpang di Malaysia pada tahun lalu, meningkat sembilan peratus berbanding tahun 2015.

Ditanya mengenai unjuran jualan tahun ini, Preeston berkata, syarikat berharap dapat mengekalkan prestasi pertumbuhan sama seperti tahun lalu.

"Jualan akan dipacu oleh ekonomi domestik berikutan terdapat isyarat bercampur-campur dalam pasaran di sini," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pasaran Malaysia kekal kompetitif tahun ini susulan ada banyak pengedar lain.

"Pada tahun lalu, jualan keseluruhan kenderaan C&C susut sebanyak 13 peratus berikutan pasaran sukar pada masa itu," katanya.

BERNAMA

36 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »