Selasa, 23 Mei 2017 - 1:23AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Polis tolak permohonan penganjur Perhimpunan Mei 1

Oleh Nor Azizah Mokhtar


KUALA LUMPUR: Polis menolak permohonan penganjur Perhimpunan Mei 1, 2017 untuk mengadakan perhimpunan itu 1 Mei depan di ibu negara selepas gagal mengemukakan surat kebenaran pemilik lokasi perhimpunan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata pihaknya menerima surat pemberitahuan daripada penganjur berhubung perhimpunan itu, kira-kira jam 11.20 pagi, Selasa lalu.

"Susulan itu, kita mengadakan satu perbincangan dengan wakil mereka namun kita dapati mereka gagal mengemukakan surat persetujuan atau kebenaran dari tuan punya tempat atau premis di mana perhimpunan itu hendak diadakan.

"Difahamkan, peserta perhimpunan terlebih dulu akan berkumpul di hadapan bangunan Stesen KTMB Kuala Lumpur sebelum berarak ke dataran pusat membeli belah Lot 10," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, katanya pihak polis memberikan amaran kepada penganjur supaya tidak meneruskan perhimpunan itu memandangkan penganjur gagal mematuhi undang-undang mengikut Seksyen 10(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang mana perlu ada kebenaran daripada pemilik tempat.

"Oleh kerana itu, permohonan tidak dapat diproses dan jika perhimpunan itu diteruskan penganjur boleh dikenakan tindakan undang-undang yang diperuntukkan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012," kata Mohd Sukri.

Perhimpunan Mei 1, 2017 adalah satu himpunan aman di Kuala Lumpur bersempena dengan Hari Pekerja Sedunia pada 1 Mei 2017 dengan tuntutan utama mewujudkan Tabung Pemberhentian Pekerja untuk pekerja yang kehilangan kerja.


Trending

    Disyorkan