Jumaat, 21 April 2017 | 6:07pm

13 pelajar disyaki geng kongsi gelap direman


KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat (kanan) ketika memberi kenyataan mengenai 13 pelajar serta lima bukan pelajar ditahan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. - Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Seramai 18 individu termasuk 13 pelajar sekolah menengah yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan kumpulan kongsi gelap, ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, individu yang ditahan berusia antara 16 tahun hingga 25 tahun dalam operasi yang dijalankan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Bukit Aman dengan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, kelmarin.

Beliau berkata, individu yang ditahan reman itu terdiri daripada pelajar sekolah, pelajar kolej, pengawal keselamatan dan mekanik.

"Tangkapan dibuat ekoran rakaman video yang tersebar di media sosial membabitkan sekumpulan remaja sedang berhimpun di luar sebuah sekolah di Klang seperti meraikan sesuatu, dipercayai ada kaitan dengan elemen kumpulan kongsi gelap Geng 24.

"Melalui rakaman video itu, kelihatan beberapa individu termasuk yang memakai pakaian seragam sekolah mengadakan acara memotong kek yang dihiasi angka '24', dipercayai melambangkan atau berunsurkan kumpulan kongsi gelap Geng 24.

"Terdapat juga individu yang memegang sepanduk mengandungi tulisan angka '24' selain remaja memakai pakaian berlambangkan swastika atau berunsurkan kumpulan kongsi gelap Geng 24," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Fadzil berkata, siasatan awal mendapati Geng 24 itu sepatutnya meraikan acara itu pada 24 April ini tetapi disambut lebih awal iaitu petang semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu laporan polis juga sudah dibuat dan kertas siasatan mengikut Seksyen 52 Akta Pertubuhan juga dibuka.

"Siasatan kini masih berjalan dan saya meminta sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk memberikan kerjasama berhubung kegiatan seperti ini memandangkan ia dilakukan remaja yang masih bersekolah.

"Ini aktiviti yang tidak baik yang perlu dibanteras. Kita akan siasat apakah punca dan siapa dalang dalam kes ini," katanya.

101 dibaca
Berita Harian X