Khamis, 27 April 2017 - 5:33AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Pasukan Petugas Khas BNM bentang siasatan Jun ini

Oleh Suhaila Shahrul Annuar



PENGERUSI Petugas Khas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dikerumuni oleh media selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung urus niaga membabitkan kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 90-an di Kementerian Kewangan, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Pasukan Petugas Khas berhubung urus niaga menyebabkan Bank Negara Malaysia (BNM) kerugian AS$10 bilion pada 1990-an, yakin laporan akhir mengandungi syor untuk tindakan lanjut berhubung siasatannya akan dibentang kepada kerajaan Jun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, syor itu termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja jika perlu.

Beliau berkata pasukan berkenaan itu sudah meneliti dengan mendalam dokumen sedia ada seperti Laporan Kewangan Tahunan BNM, Laporan Article IV oleh International Monetary Fund (IMF), penyata rasmi Parlimen, kenyataan media serta penerbitan berkaitan.

Katanya, pasukan berkenaan juga sudah menemubual beberapa individu yang dikenal pasti termasuk yang hadir secara sukarela untuk memberi maklumat berkaitan isu kerugian BNM ini.

Justeru pihaknya mengalu-alukan pihak lain yang terbabit secara langsung atau tidak langsung serta menggesa individu yang mendakwa mempunyai maklumat dan dokumen berhubung kerugian urus niaga ini untuk tampil berkongsi maklumat dengan Sekretariat Pasukan Petugas Khas.

"Selain itu, Pasukan Petugas Khas juga ingin merakamkan penghargaan ke atas maklumat yang telah dikongsi dengan secara sukarela kepada Sekretariat Pasukan Petugas Khas melalui saluran emel.

"Maklumat yang diterima banyak membimbing Pasukan Petugas Khas untuk mencari lebih banyak informasi yang berkenaan bagi memberi gambaran sebenar kerugian BNM akibat aktiviti spekulasi urus niaga mata wang asing termasuk juga kebarangkalian menyembunyikan kerugian itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pasukan berkenaan telah mengadakan sebanyak enam mesyuarat sejak mesyuarat pertamanya pada 16 Mac lalu.

"Terma rujukan Pasukan Petugas Khas ini adalah untuk menyemak semula kerugian BNM dalam aktiviti spekulasi bagi urusniaga mata wang asing serta menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan maklumat kerugian itu dan memberi kenyataan mengelirukan mengenainya di Parlimen.

"Berdasarkan hasil semakan ini, Pasukan Petugas Khas kemudiannya akan mengemukakan syor kepada kerajaan.

"Pasukan ini ditubuhkan atas dasar pentadbiran yang tidak mempunyai sebarang kuasa undang-undang, walaupun terdapat kekangan ini, ia tidak pernah menjadi halangan untuk Pasukan Petugas Khas ini melaksanakan mandat yang diberi mengikut terma rujukan yang ditetapkan," katanya.


Trending

    Disyorkan