Rabu, 24 Mei 2017 - 8:30AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Organisasi belia perlu penjenamaan semula - TPM

Oleh Nazura Ngah



TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap ketika hadir Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan kali ke-38 Gerakan Belia 4B Malaysia di Hotel International Kuala Lumpur. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu organisasi atau pertubuhan belia melalui proses penjenamaan semula bagi memastikan matlamat penubuhan dan agenda yang diperjuangkan terus kekal relevan dengan cita rasa dan keperluan golongan itu pada hari ini dan akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, untuk memastikan organisasi belia tidak digambarkan sebagai lesu atau lemau, barisan kepemimpinan organisasi itu tidak seharusnya melaksanakan program bersifat "syok sendiri".

Beliau berkata, penjenamaan semula bukan bermakna menukar nama organisasi semata-mata, sebaliknya proses itu membabitkan penghasilan idea baharu yang lebih segar, semangat, pengisian program dan kaedah mendekati masyarakat di peringkat akar umbi.

"Kita tidak mahu organisasi belia diberikan gambaran oleh masyarakat luar terutama dalam kalangan generasi Y dan generasi milenium yang rasa Gerakan Belia 4B atau organisasi belia tidak relevan dengan cita rasa mereka.

"Kita tidak mahu digambarkan oleh generasi itu sebagai organisasi lemau...apabila kelemauan mengatasi cita rasa, maka tidak ada lagi kebugaran dalam organisasi belia.

"Aktiviti yang dijalankan tidak harus datang daripada rasa syok sendiri pemimpin, kalau syok sendiri maka kelemauan itu semakin menjadi-jadi," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-38 Gerakan Belia 4B Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Gerakan Belia 4B, Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaluddin.

Gerakan Belia 4B kini dianggotai kira-kira 100,000 ahli termasuk 30,000 ahli yang didaftar menerusi sistem pendaftaran dalam talian.

Pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri menerima anugerah Bintang Bakti Cemerlang Gerakan Belia 4B disampaikan Mua'amar Ghadafi.

Mesyuarat Agung Tahunan kali ini menyaksikan pemilihan bagi mengisi jawatan Presiden dan Naib Presiden yang akan ditentukan menerusi undi 327 perwakilan.

Mua'amar Gadafi tidak mempertahankan jawatan yang disandang sejak 2009.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Hal Ehwal Belia menegaskan belia hari ini tidak seharusnya disogokkan dengan aktiviti yang tidak relevan dengan kehendak dan keperluan mereka.

"Kalau setakat nak buat rombongan ke Medan, atau ke Phuket atau Bali, itu cerita lama...menyogokkan kepemimpinan di peringkat akar umbi dengan aktiviti beli belah dan membawa mereka menyertai rombongan, itu cerita lama.

"Belia sekarang mahu disogokkan dengan aktiviti yang relevan dengan cita rasa mereka," katanya yang turut memuji Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang berjaya mengemudi golongan belia di negara ini.


Trending

    Disyorkan