Rabu, 24 Mei 2017 - 8:21AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Liberalisasi lanjut insurans kenderaan bermotor

Oleh Suffian A Bakar



JESSICA Chew Cheng Lian. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Mulai 1 Julai depan, lebih banyak faktor risiko akan diambil kira untuk menentukan premium insurans pemegang polisi kenderaan bermotor.

Selain nilai diinsuranskan, keupayaan enjin, umur kenderaan dan umur pemandu, premium mungkin didorong faktor lain seperti ciri keselamatan dalam kenderaan, tempoh kenderaan berada di jalan raya, lokasi geografi kenderaan dan kesalahan lalu lintas yang pernah dilakukan.

"Faktor ini akan menentukan profil risiko kumpulan pemegang polisi yang akan menentukan premium," kata Penolong Gabenor Sektor Pengawalseliaan Bank Negara, Jessica Chew Cheng Lian, pada taklimat media di sini, hari ini.

Jessica berkata, memandangkan setiap penanggung insurans dan pengendali takaful mempunyai cara berbeza dalam menentukan profil kumpulan, harga polisi kenderaan bermotor akan berbeza daripada satu penanggung insurans kepada penanggung insurans lain.

Beliau berkata, mulai 1 Julai 2017, liberalisasi kadar premium Motor Komprehensif dan produk Motor Pihak Ketiga Kebakaran dan Kecurian akan dilonggarkan yang mana harga premium akan ditentukan penanggung insurans dan pengendali takaful masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, kadar premium produk Motor Pihak Ketiga akan terus tertakluk kepada taraf tarif.

Liberalisasi insurans kenderaan bermotor bermaksud harga produk insurans kenderaan bermotor tidak akan lagi ditentukan berdasarkan Tarif Motor, iaitu senarai harga yang sudah ditetapkan.

Harga produk insurans kenderaan bermotor akan ditentukan setiap penanggung insurans dan pengendali takaful.

"Pengguna boleh menikmati pilihan insurans yang lebih luas pada harga kompetitif memandangkan liberalisasi menggalakkan inovasi dan persaingan dalam kalangan penanggung insurans dan pengendali takaful," katanya.


Trending

    Disyorkan