Sabtu, 27 Mei 2017 - 11:39PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Kelab penyokong NS lancar tabung amal

Oleh Mohd Amin Jalil


SEREMBAN: Kelab Penyokong Setia Bola Sepak Negeri Sembilan (KPSBNS) melancarkan tabung amal sempena perlawanan suku akhir kedua Piala FA antara Negeri Sembilan dan Sabah di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Ahli Jawatankuasa KPSBNS, Shamsul Ghazali berkata tabung berkenaan bertujuan membantu anak kepada seorang ahli kelab yang menghadapi masalah jantung bengkak yang dijadual akan menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 6 Julai ini.

Katanya, ahli terbabit Mohd Fairus Amzah@Hamzah, 32, yang juga seorang kakitangan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) memerlukan sebanyak RM10,000 bagi rawatan anak keduanya, Durani Iman, berusia enam bulan.

"Prihatin dengan masalah yang menimpa keluarga itu, kami sepakat untuk membantu Mohd Fairus menerusi kutipan amal yang akan dijalankan malam ini, bagi meringankan beban keluarganya.

"Kami akan menggerakkan tabung amal itu di setiap pintu masuk stadium dan penyokong Negeri Sembilan juga boleh hadir di Kedai Sup Pak Hassan selepas perlawanan untuk menghulurkan bantuan.

"Semoga dengan sedikit sebanyak sumbangan ini kita dapat membantu adik Durani Iman," katanya kepada BH Online, sebentar tadi.

Sementara itu, Mohd Fairus menzahirkan rasa terharu dengan langkah kepemimpinan kelab untuk melancarkan tabung amal bagi mengubati anaknya itu.

Katanya, pihaknya tidak menyangka KPSBNS prihatin dengan masalah yang menimpa anak keduanya itu yang menghadapi masalah jantung sejak dilahirkan.


Infografik

Trending

    Disyorkan