Jumaat, 21 April 2017 | 4:44pm

2 ditahan cuba seludup rokok, minuman keras


KOMANDER Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Perlis DSP Syed Basri Syed Ali (kanan) menunjukkan sebahagian rampasan rokok dan arak dianggarkan bernilai kira-kira RM277,000, ketika sidang media di Kem AKSEM Chuping dekat sini hari ini. - Foto BERNAMA

PADANG BESAR: Dua lelaki ditahan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) selepas cuba menyeludup masuk rokok tidak sah dan minuman keras bernilai lebih RM60,000, petang semalam.

Semua barangan membabitkan 406 karton rokok pelbagai jenis dan 54 botol arak dengan nilai cukai kira-kira RM200,000 itu ditemui selepas pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kereta dengan nombor pendaftaran Thailand yang dinaiki dua lelaki tempatan di kawasan perindustrian di Kampung Kolam di sini, kira-kira jam 6.45 petang.

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan yang disyaki berlaku di kawasan itu, sebelum mengesan kereta jenis Honda Accord berwarna emas dinaiki dua lelaki berusia 30 dan 35 tahun dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan, kami menemui beberapa bungkusan plastik berwarna hitam berisi 406 karton rokok jenama Mevius, Marlboro Light dan Marlboro serta sembilan kotak berisi 54 botol arak di bahagian tempat duduk belakang serta di but kereta.

"Kami percaya semua rokok dan arak berkenaan cuba diseludup untuk mengelak daripada dikenakan cukai dan barangan terbabit dirampas untuk tindakan lanjut," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Syed Basri berkata, nilai keseluruhan cukai barangan yang dirampas itu dianggarkan RM206,564 iaitu RM203,000 bagi 406 karton rokok dan RM3,564 bagi 54 botol arak.

Katanya, kedua-dua suspek kemudian ditahan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 atas kesalahan mengangkut barangan larangan atau belum lulus kastam.

Berita Harian X