Rabu, 24 Mei 2017 - 8:42AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Najib saman Pua isu video fitnah

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengemukakan saman fitnah terhadap Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, berhubung kenyataan dalam rakaman video secara langsung membabitkan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Najib atas kapasiti peribadi, memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melalui firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aishah Mubarak, dengan menamakan Pua atau nama sebenarnya Tony Pua Kiam Wee sebagai defendan.

Najib selaku plaintif melalui pernyataan tuntutannya, berkata kenyataan Pua dalam rakaman itu yang kemudian diterbitkan dalam laman Facebook rasminya, secara spesifik merujuk kepada beliau (Najib).

Kenyataan itu menurut Najib, memfitnahnya mengikut Seksyen 5 Akta Fitnah 1957 terhadap jawatannya selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang bermaksud beliau menyalahgunakan kuasa.

Plaintif berkata, ia bermaksud beliau memberikan arahan melalui Kabinet kepada Speaker Dewan Rakyat supaya mengusulkan Rang Undang-undang Persendirian dan mengetepikan Rang Undang-undang lain.

Beliau berkata, ia juga bermaksud dirinya tidak menghiraukan doktrin pengasingan kuasa dan berkonspirasi dengan PAS untuk memecah undi Melayu dalam kalangan pembangkang.

Perkataan fitnah itu juga, kata Najib, membawa maksud beliau melakukan jenayah dengan merompak duit daripada dana 1MDB, menyalahguna kuasa, tidak boleh dipercayai dan tidak layak memegang jawatan dalam kerajaan.

Sehubungan itu, Najib menuntut daripada Pua ganti rugi am, ganti rugi tambahan, ganti rugi teladan, dan perintah injunksi bagi menghalang Pua daripada terus menerbitkan kenyataan sama.


Trending

    Disyorkan