Jumaat, 21 April 2017 | 2:13pm

Sindiket dadah Thai lumpuh, warga M'sia ditahan

BANGKOK: Polis Thailand menumpaskan sindiket dadah antarabangsa dengan tertangkapnya seorang rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi dalang utama dalam penyeludupan ratusan kilogram ice, dadah jenis methamphetamine, ke Malaysia.

Polis berkata, lelaki rakyat Malaysia yang digelar 'Mr T' dari Johor itu juga bertanggungjawab atas cubaan menyeludup 282 kilogram (kg) ice bernilai jutaan ringgit oleh dua rakannya ke Malaysia melalui sempadan Sadao pada Mac tahun lalu yang digagalkan pihak berkuasa.

Mr T ditahan di Lapangan Terbang Hatyai semalam, sejurus tiba dari Chiang Rai.

"Dua lelaki Malaysia yang ditahan dengan 282 kg ice tahun lalu memberitahu pihak berkuasa dadah itu milik Mr T," kata Timbalan Komander Biro Penindasan Narkotik Thailand (NSB), Mej Jen Supakit Srijantaranon, pada sidang media di sini hari ini.

Kedua-dua lelaki berkenaan, katanya, turut memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa lelaki dari Johor itu membantu antara empat hingga lima cubaan menyeludup dadah ke Malaysia, masing-masing membawa kira-kira 100 kg ice ke lokasi tidak dinyatakan di Malaysia.

Beliau berkata, polis Thailand juga menahan seorang wanita tempatan dan seorang lelaki Taiwan di Chiang Rai serta seorang wanita Thailand di Chiang Mai, semalam, semuanya dipercayai anggota sindiket dadah antarabangsa dalam operasi susulan.

Ketua NSB, Lt Jen Sommai Kongvisaisuk, yang turut hadir pada sidang media itu berkata, polis percaya Mr T ke Chiang Rai untuk membuat pesanan bagi satu lagi kiriman dadah.

"Lelaki Malaysia itu dan isterinya warga Thailand menjalankan banyak perniagaan," katanya.

Sementara itu, Supakit berkata, berikutan penahanan empat suspek semalam, pihak berkuasa merampas wang tunai kira-kira 30 juta baht (anggaran RM3.8 juta) dalam beberapa mata wang dan 20 juta baht dalam aset lain.

Sejumlah 20 juta baht lagi dalam aset turut dirampas daripada sindiket sama beberapa bulan lalu, menjadikan jumlah wang tunai dan aset dirampas daripada sindiket antarabangsa itu kepada 70 juta baht (kira-kira RM8.8 juta), katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa Thailand mendapat kerjasama baik dari China dan Malaysia serta negara ASEAN lain dalam mengumpul maklumat mengenai sindiket itu hingga menahan dalangnya semalam.

Lebih daripada 10 syarikat di selatan Thailand diserbu yang membawa kepada penahanan empat orang dan beberapa syarikat akan disiasat kerana disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket dadah itu, katanya.

"Kami akan mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek lain kemudian," katanya. - BERNAMA

82 dibaca
Berita Harian X