Jumaat, 21 April 2017 | 1:34pm

Operasi SAR diperluas


ANAK kapal KD Selangor melakukan pencarian kru KD Perantau yang dipercayai jatuh laut di perairan Bintulu, Isnin lalu. - Foto Ihsan TLDM

KOTA KINABALU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kru kapal diraja (KD) Perantau milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dipercayai jatuh ke laut di perairan Bintulu pada Isnin lalu, diperluaskan hari ini.

Ia susulan penambahan sektor kepada 8,265 batu nautika persegi iaitu 42 batu nautika dari barat daya Bintulu.

Laskar Kelas II Komunikasi Amirul Bahari Ismail, 22, disedari hilang selepas tidak hadir ke perbarisan wajib KD Perantau kira-kira jam 9 pagi Isnin lalu.

Panglima Wilayah Laut 2 TLDM, Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob, berkata operasi SAR hari kelima membabitkan penambahan kawasan pencarian seluas 2,640 batu nautika persegi berbanding hanya 5,625 batu nautika persegi kawasan pencarian, semalam.

"TLDM berharap pencarian ini menemui hasil positif dengan penambahan keluasan kawasan pencarian," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, aset yang digerakkan ke sektor pencarian termasuk KD Selangor, KD Perantau, KD Serang dan MV Mega Bakti dari TLDM serta kapal maritim (KM) Semilang milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Pasukan Polis Marin (PPM) turut terbabit dalam operasi ini bersama asetnya iaitu PA 1 di pesisir perairan Miri.

"Operasi pencarian yang mengekalkan penugasan pesawat Super Lynx TLDM dan dibantu oleh Pesawat CN235 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini, diharap memberi petunjuk positif.

"Persatuan nelayan di perairan Miri dan Bintulu sudah dimaklumkan dan mendapat kerjasama baik dalam membantu usaha pencarian ini," katanya.

Amirul Bahari dari FELDA Keratong 5, Pahang bertugas dalam TLDM sejak dua tahun lalu.

Mangsa kali terakhir dilihat berada di bilik rehat pada jam 7.15 pagi ketika kapal itu dalam pelayaran pulang ke Pangkalan TLDM Lumut dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar, di sini.

Berita Harian X