Khamis, 27 April 2017 - 4:57PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Pengasuh direman kes bayi 8 bulan maut

Oleh Farah Suhaidah Othman



SUSPEK (kiri) direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini, bagi membantu siasatan kes mencederakan seorang bayi lelaki hingga mengakibatkan kematiannya. - Foto Abdullah Yusof

IPOH: Polis menahan seorang wanita berusia 36 tahun bagi membantu siasatan kes mencederakan seorang bayi lelaki hingga mengakibatkan kematiannya di Taman Meru, di sini.

Muhammad Syahmi Naufal Muhammad Adam Tham, yang berusia lapan bulan meninggal dunia pada jam 6.21 pagi semalam selepas hampir 24 jam tidak sedarkan diri dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan wad kanak-kanak di hospital berkenaan memaklumkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dipercayai dipukul dengan objek keras.

Katanya, bertindak atas laporan itu, seorang wanita yang juga pengasuh bayi berkenaan ditahan di rumahnya di Taman Meru pada jam 11 pagi semalam.

"Suspek direman selama tujuh hari hingga Khamis ini.

"Hasil bedah siasat bayi berkenanan mendapati mangsa mengalami kecederaan dalaman di bahagian kepala.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini, hari ini.

Sebelum kejadian, ibu bayi berkenaan, Robaah Sulaiman, 30, menghantar anaknya itu ke rumah berkenaan pada jam 7 pagi pada Rabu lalu dalam keadaan sihat.

Suaminya, Muhammad Adam Tham Abdullah, 30, kemudian menerima panggilan daripada pengasuh terbabit memaklumkan bayinya berada dalam keadaan lemah.

Bayi itu dihantar ke klinik berhampiran dan dirujuk ke HRPB untuk rawatan lanjut.


Trending

    Disyorkan