Jumaat, 21 April 2017 | 12:30pm

Adam Rosly didakwa beri dokumen, keterangan palsu


ADAM Rosly dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas enam tuduhan memberi keterangan dan dokumen palsu bagi memperdayakan pegawai SPRM. - Foto Syarafiq Abd Samad

KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam tuduhan memberi keterangan dan dokumen palsu bagi memperdayakan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Adam Rosly, 30, yang hadir ke mahkamah memakai kemeja biru dan seluar hitam memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Adam Rosly menghadapi dua tuduhan memberi pernyataan palsu dan didakwa mengikut Seksyen 32 (8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Dia turut dituduh mengemukakan empat dokumen palsu dan didakwa mengikut Seksyen 89 akta sama, yang kedua-dua memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 29 Mei ini untuk sebutan semula kes.

146 dibaca
Berita Harian X