Jumaat, 21 April 2017 | 11:27am

Macron dijangka menang pilihan raya presiden Perancis


EMMANUEL Macron dijangka memenangi pusingan pertama pilihan raya presiden Perancis Ahad ini. - Foto Reuters

PARIS: Tokoh berpandangan sederhana, Emmanuel Macron, dijangka memenangi pusingan pertama pilihan raya presiden Perancis Ahad ini ketika pemimpin berhaluan kanan, Marine Le Pen, ketinggalan jauh di belakangnya dalam tinjauan pendapat disiarkan Elabe hari ini.

Bagaimanapun, tempat kedua-duanya pada pusingan kedua 7 Mei ini belum terjamin kerana dua lagi calon, Francois Fillon dan Jean-Luc Melenchon, dilihat semakin merapatkan jurang perbezaan antara mereka.

Jika Macron dan Le Pen berjaya ke pusingan kedua, bekas Menteri Ekonomi itu dijangka menang dengan memperoleh 65 peratus undian berbanding cuma 35 peratus untuk Le Pen, menurut tinjauan untuk saluran BFM TV dan majalah L'Express.

Tinjauan mendapati Macron dijangka menang 24 peratus undian pada pusingan pertama manakala Le Pen dengan 21.5 peratus.

Undian untuk Macron meningkat dalam tinjauan tiga hari lalu manakala sokongan kepada Le Pen menurun 1.5 peratus.

Fillion yang kembali menyerlah selepas terjejas dengan skandal pekerjaan palsu, melihat sokongan kepadanya pada pusingan pertama meningkat separuh kepada 20 peratus. - Reuters

37 dibaca
Berita Harian X