Jumaat, 21 April 2017 | 10:58am

Taiwan tahan pegawai polis AS bawa pistol


NOELL Grant ditahan di Taiwan selama seminggu kerana secara tak sengaja membawa pistol di dalam bagasi tangannya. - Foto ihsan dailynews.com

LOS ANGELES: Seorang anggota polis dari California yang sedang bercuti ditahan di Taiwan selama seminggu selepas memaklumkan pihak berkuasa, bahawa beliau secara tidak sengaja membawa pistol di dalam bagasi tangannya.

"Noell Grant tiba di Taiwan pada 13 April lalu untuk bercuti bersama keluarga dan memaklumkan pihak berkuasa di lapangan terbang, beliau secara tidak sengaja menyimpan pistol dalam bagasi tangannya," kata pegawai Jabatan Polis Santa Monica, Leftenan Saul Rodriguez.

Berikutan itu, Rodriguez berkata, Grant dilarang meninggalkan Taiwan sehingga masalah itu diselesaikan, namun boleh bergerak bebas di negara itu.

Sementara itu, pihak berkuasa persekutuan semalam, mengakui kegagalan mematuhi prosedur keselamatan di lapangan terbang Los Angeles menjadi punca Grant dibenarkan menaiki pesawat bersama pistolnya.

Pegawai Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan, Nico Melendez, berkata pihak berkuasa yakin prosedur standard tidak dipatuhi, menyebabkan Grant dan pistolnya berjaya melepasi pusat pemeriksaan di lapangan terbang.

Dalam pada itu, Rodriguez berkata, masih belum jelas sama ada Grant akan berhadapan dengan tindakan disiplin sekembalinya ke California. - AFP

25 dibaca
Berita Harian X