Rabu, 24 Mei 2017 - 8:26AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Bursa Malaysia dibuka kukuh

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka kukuh pagi ini, sejajar dengan sentimen positif di pasaran serantau yang melonjakkan minat risiko pelabur.

Pada jam 9.04 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada paras 1,744.76, naik 3.16 mata berbanding penutup semalam, 1,741.61.

Indeks utama itu dibuka 0.62 mata lebih tinggi kepada 1,742.23.

Peningkatan dalam saham Maybank dan CIMB merangsang indeks komposit itu dengan jumlah sumbangan 2.42 mata.

Maybank meningkat tujuh sen kepada RM9.15 dan CIMB naik lapan sen kepada RM5.58.

Peniaga berkata, Bursa dijangka mencatatkan prestasi baik hari ini, menjejaki perdagangan kukuh di Wall Street yang memperlihatkan Indeks Nasdaq ditutup pada paras rekod berikutan siri perolehan korporat yang positif.

Beliau berkata, saham Jepun dijangka meneruskan momentum meningkat hari ini berikutan kelemahan yen selepas kenyataan Gabenor Bank of Japan, Haruhiko Kuroda bahawa bank pusat itu tidak mempunyai rancangan untuk memperlahankan program pelonggaran kuantitatifnya, yang mana membantu melonjakkan sentimen serantau.

Di pasaran tempatan, secara keseluruhan, pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 161 berbanding 63, sementara 181 kaunter kekal tidak berubah dan 1,346 tidak didagangkan manakala 17 lain digantung.

Jumlah dagangan berada pada paras 139.6 juta saham bernilai RM65.84 juta.

Saham berwajaran tinggi, Public Bank meningkat empat sen kepada RM19.96 sementara Sime Darby dan IHH Healthcare tidak berubah, masing-masing pada RM9.26 dan RM6.02.

Tenaga jatuh lapan sen kepada RM13.72 dan Petronas Chemicals merosot dua sen kepada RM7.50.

Di kalangan saham aktif, Eversafe meningkat 5.5 sen kepada 41.5 sen, Key Alliance dan IRIS Corp naik setengah sen, dengan masing-masing pada sembilan sen dan 17.5 sen.

Namun Perwaja Holdings jatuh 2.5 sen kepada tiga sen.

Di papan skor, Indeks FBM Emas 20.95 mata lebih tinggi kepada 12,419.22, Indeks FBMT100 melonjak 20.13 mata kepada 12,055.6, Indeks FBM 70 naik 18.18 mata kepada 14,672.37 dan Indeks FBM Ace menambah 30.59 mata kepada 6,126.43.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Syariah susut 1.6 mata kepada 12,810.65.

Dari segi sektor, Indeks Kewangan melonjak 69.34 mata kepada 15,846.62, Indeks Perladangan meningkat 5.11 mata kepada 8,008.66, manakala Indeks Perindustrian jatuh 2.85 mata kepada 3,208.57. - BERNAMA


Trending

    Disyorkan