Jumaat, 21 April 2017 | 9:23am

Suliza harap anak tak lupa diri


SULIZA berharap Ismail tidak mudah hanyut dengan kemasyhuran selepas bergelar artis. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Penyanyi era 1980-an, Datin Suliza Salam, berharap anak lelakinya, Ismail Izzani, tidak mudah hanyut dengan kemasyhuran selepas bergelar artis.

Pada masa sama, Suliza, 52, yang pernah popular dengan lagu Untuk Sekali Lagi itu menyambut baik usaha anak bongsunya mengikut jejak sebagai penyanyi.

Remaja berusia 17 tahun itu ketika ini meledak dengan lagu berjudul Sabar. Video muzik lagu nyanyiannya, hasil ciptaan Omar K, Adib Hamdi, Zyn dan Ismail sendiri, sudah ditonton lebih empat juta kali di laman YouTube.

"Saya tidak menyangka namanya meningkat naik dengan begitu cepat di persada seni. Perkembangan itu tentu saja membuatkan saya teruja.

"Cuma saya selalu berpesan kepadanya supaya tidak mudah lupa diri. Populariti boleh datang dan pergi dalam sekelip mata.

"Saya harap dia boleh mengekalkan momentum ketika ini dan terus memberikan yang terbaik pada masa akan datang.

"Saya tidak mahu dia jadi sombong dan berasa bagus, sebaliknya kenalah sentiasa merendah diri. Setiap hari tetap menjadi proses pembelajaran baginya. Sampai bila-bila pun dia kena sentiasa memperbaiki diri.

"Selain itu, saya tidak mahu melihat dia mengalami kejutan budaya dan selalu bermuhasabah diri," katanya yang ditemui di Greyhound Cafe Bukit Bintang.

Suliza menegaskan, anaknya itu harus memberi tumpuan pada pelajaran, apatah lagi pada tahun ini Ismail bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Tahun ini dia kena bekerja kuat, antara bidang seni dan pelajaran. Cuma, jadualnya fleksibel sedikit kerana dia belajar di rumah, selain ke kelas tuisyen," katanya.

Perkahwinan Suliza dengan usahawan, Datuk Zainal Nazri Zainuddin, turut dikurniakan dua lagi anak iaitu Nur Izzati, 25, dan Nur Falahi, 21.

Berita Harian X