Selasa, 23 Mei 2017 - 1:22AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

13 pelajar ahli Geng 24 ditahan

Oleh Siti Azila Alias

 

KUALA LUMPUR: Seramai 13 pelajar ditahan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) kerana menyertai kumpulan kongsi gelap Geng 24.

Difahamkan, mereka adalah pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Andalas, SMK Raja Mahadi, SMK Shahbandaraya dan SMK Kampung Jawa.

Selain pelajar berkenaan, lima yang lain turut ditahan kerana menganggotai kumpulan sama. Semua tangkapan dilakukan di sekitar Klang, Selangor.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya, pagi ini.

Beliau berkata, pihaknya akan menahan lebih ramai individu yang terbabit dengan aktiviti kumpulan Geng 24.

"@PDRMsia kesan penglibatan pelajar2 SM Andalas, SM Raja Mahadi, SM Shahbandar, SM Kampung Jawa dalam aktiviti Geng 24.

"Syabas STAFFOC @PDRMsia  13 pelajar,5 bukan pelajar disekitar Klang. Ramai lagi akan ditkap kerana terlibat dlm aktiviti geng 24. #GoPDRMGo," katanya.

Dalam Tweet itu juga, Khalid turut memuat naik dua klip video memaparkan sekumpulan individu, termasuk pelajar berpakaian seragam sekolah berkumpul di hadapan sebuah sekolah.

Dalam klip video pertama berdurasi 45 saat, kumpulan terbabit dilihat melakukan kekecohan dengan membakar mercun, selain ada di antara mereka memegang kain rentang tertera nombor '24'.

Dalam video kedua yang dimuat naik Khalid, sekumpulan individu yang menunggang motosikal memotong kek yang mempunyai lakaran gambar berserta tulisan 'SMK Sri Andalas 24 Apache'

 

 

 


Trending

    Disyorkan