Jumaat, 21 April 2017 | 7:05am
RIM dengan rekaan lima jejari. - Foto Salhani Ibrahim

Volvo Malaysia tampil S90, V90


VOLVO V90 dengan rekaan dinamik, elegan dan mewah. - Foto Salhani Ibrahim

VOLVO Cars Malaysia (VCM) baru-baru ini memperkenalkan dua model baharu ke pasaran Malaysia - sedan eksekutif premium S90 dan wagon eksekutif premium V90.

Buat permulaan, VCM membawa masuk kedua-dua model baharu itu dengan unit diimport sepenuhnya (CBU), sebelum unit pemasangan tempatan (CKD) dijangka ditampilkan akhir tahun ini.

Dari segi spesifikasi, kedua-dua model S90 dan V90 adalah mirip, yang mana kedua-duanya ditampilkan dalam dua versi iaitu T5 dan T6 AWD R-Design.

S90 T5 dijual pada harga RM388,888, manakala T6 yang lebih berkuasa pada RM453,888.

V90 T5 dan T6 pula adalah RM5,000 lebih mahal daripada versi sedan masing-masing, pada harga RM393,888 dan RM458,888.

Semua harga berkenaan ialah harga atas jalan tanpa insurans, termasuk jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Dimensi luaran kedua-dua model tampil lebih rendah, panjang dan lebih lebar berbanding pesaing lain dalam segmen sama.


MEWAH dan kaya dengan kuasa dan teknologi Sweden. - Foto Salhani Ibrahim

Meskipun pasaran kereta wagon agak kecil di Malaysia, namun Volvo yakin pertambahan kelompok pembeli dengan gaya hidup aktif akan membuatkan semakin ramai menyukai model segmen ini.

Dari segi kemasan, semua model terbabit menerima rekaan unit lampu utama LED "Thor's Hammer" dengan ciri Lampu Mencapah Aktif dan Kawalan Lampu Tinggi Aktif.

Dalam pada itu, lampu LED belakang pula didatangkan dengan ciri Lampu Brek Penyesuaian. Varian T5 dilengkapi dengan rum aloi 18 inci.

Bagi varian T6 pula, ia didatangkan dengan penampilan R-Design yang lebih agresif, termasuk pada rekaan bampar, gril hitam berkilat, kit sisi badan yang lebih menonjol, cermin sisi warna perak dan pelantur atau "diffuser" bahagian belakang mengikut warna badan dengan empat corong ekzos.

Ia dilengkapi rim 19-inci aloi dengan rekaan lima jejari.

Bagi bahagian luaran, pemilik versi T5 boleh memilih di antara lima warna; Onyx Black, Ice White, Osmium Grey dan Bright Silver yang dikongsi oleh semua varian.

Bagaimanapun, warna Mussel Blue adalah khusus bagi varian T5, manakala warna Bursting Blue hanya terdapat pada varian T6 saja.

Kit standard lain termasuk kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, pengesan parkir di bahagian depan dan belakang, kawalan suhu dwi-zon automatik dengan penapis CleanZone serta corong pendingin hawa di belakang.


LAMPU LED belakang pula didatangkan dengan ciri Lampu Brek Penyesuaian. - Foto Salhani Ibrahim


ENJIN turbocaj dan supercaj 320 hp (235 kW) pada 5,700 rpm. - Foto Salhani Ibrahim

Selain itu, tempat duduk depan dengan 12 larasan, booster seat kerusi belakang, sistem infotainmen Sensus Connect dengan skrin sentuh 9-inci, 10 pembesar suara dengan sistem bunyi 330 W High Performance dan kamera undur.

Dimensi S90 didirikan daripada 4,963 milimeter (mm) panjang, 1,879 mm lebar dan 1,443 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,941 mm.

Bagi V90 pula, ia 27 mm lebih pendek dengan 4,936 mm panjang dengan kelebaran 1,475 mm. Ruang buat S90 yang tersedia ialah 500 liter, manakala bagi V90 pula ialah 930 liter, dan boleh dilanjutkan sehingga 1,526 liter jika tempat duduk belakang dilipat.

Bagi aspek keselamatan, semua model yang ditampilkan oleh VCM kali ini didatangkan dengan set "Intellisafe" bersama ciri keselamatan aktif, termasuk Brek Kecemasan Keselamatan Bandar.

Ciri berkenaan pada kelajuan antara empat hingga 70 kilometer sejam (km/j) dan boleh mengesan kenderaan, pejalan kaki, penunggang basikal serta haiwan saiz besar.


PENGARAH Urusan Volvo Malaysia, Lennart Stegland (kiri) bersama Pengarah Produk dan Rangkaian Volvo Malaysia, Akhtar Sulaiman pada majlis pelancaran Volvo S90 dan V90. - Foto Salhani Ibrahim

SPESIFIKASI
T5 AWD R-Design

  • Enjin turbocaj 254 hp (187 kW) pada 5,500 rpm
  • Maksimum tork 350 Nm daripada 1,500 rpm hingga 4,800 rpm
  • Pergerakan roda hadapan

T6 AWD R-Design

  • Enjin turbocaj dan supercaj 320 hp (235 kW) pada 5,700 rpm
  • Maksimum tork 400 Nm daripada 2,200 rpm hingga 5,400 rpm
  • Pergerakan empat roda
  • Berita Harian X