Khamis, 20 April 2017 | 8:16pm

Benjy ditahan cuba seludup dadah di Medan


Khaeryl Benjamin. - Foto Syarafiq Abd Samad

KUALA LUMPUR: Pelakon lelaki Khaeryl Benjamin atau Benjy, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Medan, selepas didapati cuba menyeludup dadah syabu yang disembunyikan dalam duburnya. 

Benjy, 38, ditahan oleh pegawai penguatkuasa Kastam dan Cukai, yang bertugas di lapangan terbang berkenaan semasa tiba dari Malaysia ke Medan pada malam Selasa lalu. 

Ketua Bahagian Pengawasan Kastam dan Cukai Kuala Namu, Zaky Firmansayah, berkata hasil pemeriksaan Benjy yang dikesan menaiki pesawat Malindo Air, didapati memiliki dadah syabu seberat 14 gram. 

"Setelah diperiksa dadah berkenaan ditemui disembunyikan dalam duburnya dan pelakon terbabit mengaku membeli dadah berkenaan dari seseorang di Kuala Lumpur. 

"Hasil soal-siasat, dia (Benjy) memberitahu, tujuannya ke Medan adalah untuk mencari rakannya bernama DJ," katanya kepada media Detik News, hari ini. 

Katanya, setakat ini Benjy sudah diserahkan kepada Bahagian Anti Narkotik Polis Daerah Sumatera Utara (Sumut) untuk siasatan dan tindakan lanjut. 

Sebelum ini, Benjy pernah ditahan dalam empat kes membabitkan pemprosesan dan memiliki dadah di sekitar Lembah Klang dan Muar, Johor.

1158 dibaca
Berita Harian X