Khamis, 20 April 2017 | 7:59pm

KFA nilai 3 calon ganti Cheng Hoe

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sedang mengenal pasti tiga calon jurulatih baharu bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang akan meninggalkan pasukan itu bagi menggalas tugas sebagai penolong jurulatih skuad Harimau Malaya.


DATUK Badrol Hisham Hashim

Naib Presiden KFA, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, tiga nama terdiri daripada jurulatih tempatan dan asing itu dicadangkan dalam mesyuarat jawatankuasa KFA, baru-baru ini.

"Kita ingin pastikan jurulatih baharu ini serasi dan paling penting, kita ingin cari yang terbaik buat pasukan Kedah yang kini berada pada prestasi cemerlang. Kita mahu lihat keupayaan mereka dulu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelepasan pasukan Kedah ke Ipoh, Perak bagi menghadapi suku akhir kedua Piala FA menentang PKNP FC, esok.

Cheng Hoe menerima surat pelantikan sebagai penolong jurulatih skuad Harimau Malaya daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 5 April lalu, sebelum menyerahkan surat berkenaan kepada Setiausaha Kehormat KFA Datuk Aminuddin Omar, sehari kemudian.

Badrol Hisham berkata, KFA juga sudah bersedia untuk melepaskan Cheng Hoe, namun beberapa perkara perlu diselesaikan antara KFA, Cheng Hoe dan FAM.

"KFA tidak ada halangan untuk dia (Cheng Hoe) berhijrah kerana itu kehendaknya untuk berkhidmat dengan skuad kebangsaan," katanya.

Sementara itu, Cheng Hoe ketika ditemui berkata, kesemua pemain berada dalam keadaan baik dan bersemangat untuk meraih kemenangan pada aksi suku akhir kedua Piala FA menentang PKNP FC di Stadium Perak, Ipoh.

"Pemain sudah melupakan kekecewaan pada perlawanan menentang T-Team sebelum ini apabila kalah 5-0 dan lebih bersemangat untuk bermain dengan baik bagi meraih kemenangan.

"Semua pemain utama juga berada dalam keadaan baik cuma Liridon Krasniqi akan direhatkan esok kerana masih mengalami kecederaan," katanya.

Pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman 2 April lalu, Kedah berpesta gol membelasah PKNP 6-1. - BERNAMA

47 dibaca
Berita Harian X