Khamis, 27 April 2017 - 5:49AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

MyRumah, pameran hartanah berinformasi

Oleh Haryani Ngah dan Nurhayati Abllah



PENGURUS Besar, Agency, Direct & Special Iklan NSTP, Chew Rouh Syn (duduk tengah) bersama Pengarah Urusan Andaman Group, Datuk Seri Vincent Tiew (duduk kiri) dan Pengasas Bersama LePro System Berhad, Vincent Heng (duduk kanan) bersama dengan ahli-ahli panel dan penceramah pada persidangan akhbar Kedua Siri Myrumah Showcase 2017, Balai Berita NSTP, Bangsar - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Pameran Hartanah MyRumah 2017 (MyRumah 2017), anjuran Kumpulan The New Straits Times Press Bhd (NSTP), mencipta rekodnya tersendiri apabila menjadi antara pameran hartanah yang penuh berinformasi serta bermanfaat kepada orang ramai.

Memasuki penganjuran tahun kedua, MyRumah 2017 terus mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk pemaju hartanah tempatan, rakan strategik, penceramah, barisan panel serta tidak ketinggalan sokongan kerajaan negeri.

Pengurus Besar Pengiklanan Agensi/Projek Khas NSTP, Roche Chew Ruoh Syh, berkata penganjuran MyRumah kini dilihat sebagai platform baharu kepada orang ramai untuk berkongsi maklumat mengenai sektor hartanah tempatan.

Katanya, pameran berkenaan bukan hanya mementingkan jualan unit hartanah, tetapi dijadikan sebagai lokasi rundingan hartanah pilihan pembeli, medium mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan daripada mereka yang pakar serta peluang yang boleh diterokai dalam sektor berkenaan.

"Berdasarkan penganjuran pameran sebelum ini, kita menerima sambutan amat baik daripada pengunjung serta peserta sendiri yang menerima banyak manfaat daripada MyRumah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media memperkenalkan barisan penceramah serta ahli panel forum sempena penganjuran Siri Kedua MyRumah 2017, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Andaman, Datuk Seri Vincent Tiew.

Roche berkata, seramai 17 peserta pameran akan menyertai Siri Kedua MyRumah 2017 yang diadakan di Komtar JBCC, Johor Bahru pada 5 hingga 7 Mei ini.

Selain itu, katanya, turut ditampilkan 17 penceramah terdiri daripada pakar dalam bidang hartanah dan barisan ahli panel bagi menjayakan forum yang membincangkan pelbagai topik berkaitan

"Penganjuran kali ini menyasarkan kunjungan kira-kira 10,000 pengunjung serta RM10 juta nilai jualan," katanya.

Sementara itu, Vincent berkata, Johor Bahru dipilih untuk penganjuran kali kedua pameran MyRumah kerana beberapa keunikan yang ada, termasuk kerjasama oleh kerajaan negeri dan Persekutuan kepada penganjur.

"Johor ketika ini melalui proses transformasi yang unik dan berada dalam lokasi berpotensi. Menerusi pameran ini, ia akan mewujudkan kesedaran berhubung pemilikan rumah," katanya.

Info:

Pameran kedua MyRumah 2017

* Diadakan di Komtar JBCC, Johor Bahru dari 5 hingga 7 Mei 2017

* Dibuka jam 10 pagi hingga 10 malam

* Rakan kongsi rasmi penganjuran, Andaman Group, LePro System Bhd dan Essenso

* Juga dapat kerjasama syarikat penapis air Cuckoo dan pengendali perkongsian kenderaan, Grab.

* Antara penceramah - Alan Poon (Superior Wealth Mastery); Adzman Ariffin (Exastrata Solutions Sdn Bhd), Datuk Nazri Mustafa (Rakan Kongsi, Nazri Azmi Islinda) dan Khalil Adis (Khalil Adis Consultancy).


Trending

    Disyorkan