Ahad, 25 Jun 2017 - 1:31AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

PKNS lancar projek Bayu Malawati

Oleh Norzamira Che Noh



KETUA Pegawai Operasi PKN, Norita Mohd Sidek (kanan) bersama Penolong Pengurus Jualan Hartanah Utara, Muhammad Syaizzat Zaharin Shah (kanan) dan Pengurus Pemasaran PKNS, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid (tengah) melihat replika rumah Bayu Malawati sempena sidang media Pre Pelancaran Bayu Malawati di Alam PKNS. - Foto Shazreen Zamzuri

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal melancarkan projek terbaharu iaitu Bayu Malawati pada 22 dan 23 April ini di Tapak Projek Taman Bayu Malawati, Kuala Selangor.

Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd Sidek berkata, projek kediaman rumah teres dua tingkat itu terletak di bandar Kuala Selangor dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM46 juta.

"Kita percaya Kuala Selangor akan lebih berkembang dalam jangka masa beberapa tahun lagi apabila Lebuhraya Persisiran Barat siap dibina. Malah Bayu Malawati terletak berdekatan dengan pasar raya besar, balai bomba, balai polis dan sebagainya.

"Proses pembinaan kini sudah mencapai 87 peratus dan projek ini dijangka memperoleh Certificate of Completion and Compliance (CCC) pada Oktober ini," katanya pada sidang media Pra Pelancaran Projek Bayu Malawati, di Laman PKNS, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Bayu Malawati yang terdiri daripada 104 unit rumah dibina di atas tanah berkeluasan 3.5 hektar serta menawarkan dua varian iaitu jenis A (100 unit) dan B (empat unit) dan dijual pada harga RM499,000 hingga RM600,000.

"Rumah jenis A bersaiz lot 20' x 70' dengan keluasan lantai 180.8 hingga 191.8 meter persegi (1,946 hingga 2,064 kaki persegi) manakala jenis B pula bersaiz lot 24' x 65' dengan keluasan lantai 182.4 hingga dan 191.8 meter persegi (1,963 hingga 2,064 kaki persegi).

"Kedua-dua varian dilengkapi empat bilik tidur dan tiga bilik air," katanya.

Norita berkata, PKNS turut menawarkan diskaun sehingga 12 peratus menerusi program Pemilikan Pintar (Smart Ownership) PKNS yang memberi peluang kepada pembeli untuk menikmati skim sifar bayaran pendahuluan; pembiayaan Perjanjian Jual Beli dan pemberian bayaran 'Memorandum of Transfer.

"Bayu Malawati adalah projek ketiga PKNS tahun ini dan kami turut menjangkakan kira-kira 30 unit rumah dijual pada majlis pelancaran hujung minggu ini," katanya.

REPLIKA rumah Bayu Malawati yang dipamerkan sempena sidang media Pre Pelancaran Bayu Malawati di Alam PKNS. - Foto Shazreen Zamzuri

Trending

    Disyorkan