Khamis, 20 April 2017 | 1:30pm

PNB institusi kebanggaan negara - PM


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletakkan logo Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017 gimik perasmian turut bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (dua dari kanan), Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Datuk Abdul Rahman Ahmad di Dewan Tun Razak, Temerloh . - Foto Mohd Yusni Ariffin

TEMERLOH: Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang wujud sejak 36 tahun lalu, adalah institusi unggul yang boleh dibanggakan rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, agensi itu adalah contoh instrumen yang berjaya mencapai objektif pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) oleh pemimpin terdahulu.

"Melalui usaha PNB ini kita bukan sahaja dapat melihat pengagihan bonus atau dividen tetapi juga limpahan ekonomi di bandar serta luar bandar.

"PNB adalah inisiatif kerajaan dalam perjuangan untuk menebus maruah negara termasuk membeli syarikat yang sebelum ini milik orang asing tetapi kini milik rakyat Malaysia.

"Ia sekali gus membuka minda bahawa kita memang boleh lakukan pembaharuan dan penstrukturan semula ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Najib berkata demikian ketika merasmikan Minggu Saham Amanah (MSAM) 2017 di Dataran Temerloh di sini, hari ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

MSAM 2017 yang bertemakan Pelaburan 360 selama lima hari berakhir Selasa ini dijangka menarik kehadiran lebih 150,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan bermatlamat memperkasa ilmu masyarakat mengenai pelaburan dan perancangan kewangan.

PNB kini menguruskan lebih 216 bilion saham dalam edaran milik lebih 13 juta pemegang akaun.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan PNB sebanyak RM700,000 bagi menaik taraf Pusat Hemodialisis Mentakab dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr Sha'ri Ngadiman.

39 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »