Khamis, 20 April 2017 | 12:29pm

Mercedes lancar 3 varian E-Class CKD


NAIB Presiden Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Mark Raine pada majlis pelancaran Mercedes-Benz E-Class di SS13, Subang Jaya. - Foto Halim Salleh

SUBANG JAYA: Mercedes-Benz Malaysia merancakkan lagi segmen kereta premium di negara ini dengan menampilkan model pemasangan tempatan (CKD) E-Class.

Ia menampilkan tiga varian iaitu E 200 Avantgarde, E 250 Avantgarde dan E 250 Exclusive, dengan harga bermula daripada RM348,888.

Mercedes E-Class mula diperkenalkan di Malaysia menerusi model diimport sepenuhnya (CBU) sejak Jun tahun lalu. Ketika itu, ia ditampilkan dalam empat varian.

Sejak dilancarkan, Mercedes-Benz Malaysia menjual kira-kira 2,000 unit E-Class di Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju segmen kereta premium tempatan.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Mark Raine, berkata model CKD E-Class adalah langkah berikutnya evolusi keselamatan, keselesaan dan prestasi yang ditampilkan oleh jenama mewah itu.

Katanya, E-Class baharu juga membawa testimoni warisan hebat Mercedes selain visi meyakinkan automotif mewah.

"Kecanggihan E-Class menetapkan penanda aras, yang mana sebelum ini ia berulang kali menggariskan standard segmen premium dan pasaran automotif secara keseluruhannya."

Sejak diperkenalkan tahun lalu, E-Class mendapat sambutan hebat, menjadikannya model CBU terlaris setakat ini, " katanya pada majlis pelancaran model baharu E-Class CKD di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Mercedes-Benz Malaysia juga memperkenalkan model baharu keluarga Mercedes-Benz Plug-in Hybrid, E 350 e.

65 dibaca
Berita Harian X