Jumaat, 23 Jun 2017 - 6:21AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

KIA pertaruh Grand Carnival

Oleh Mohd Zaky Zainuddin



NAZMAN (kanan) bersama Samson pada pelancara MPV Grand Carnival, di Petaling Jaya, baru-baru ini. - Foto Supian Ahmad

NAZA Kia Malaysia Sdn Bhd, pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia, melancarkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Grand Carnival serba baharu yang berciri lebih mewah.

MPV dengan lapan tempat duduk itu tampil dengan rekaan baharu dan unik dengan sentuhan pereka ternama, Peter Schreyer pada gril yang menjadikannya tampak garang dan berprestij.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, Datuk Samson Anand George, berkata model MPV yang diimport sepenuhnya (CBU) itu disasarkan kepada pelanggan daripada segenap usia yang mengamalkan gaya hidup aktif.

"Model ini menawarkan pakej lengkap dan mewah. Ia menjadi antara falsafah kami untuk menawarkan produk bernilai kepada pelanggan.

"Sejak diperkenalkan November lalu dan tempahan dibuka bermula Januari, kami sudah menerima 500 tempahan untuk model ini," katanya ketika melancarkan model itu di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Naza Kia Malaysia, Nazman Yusof.

Kia Grand Carnival dikuasakan enjin 2.2 liter CRDi turbo diesel yang direka khusus untuk kecekapan bahan api dan prestasi.

Enjin itu menawarkan kuasa 190hp, manakala tork setinggi 440Nm dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan.

Keselesaan jentera ini terletak pada sistem gantungannya dengan penggunaan sistem MacPherson pada bahagian hadapan dan multi-link untuk roda belakang.

Bagi sistem keselamatan, MPV mega ini dilengkapi Kawalan Penstabilan Elektronik, Sistem Bantuan Mula Bukit (HSA) dan enam beg udara.

Bersaiz 5,115mm panjang dengan jarak roda 3,060mm, tinggi 1,740mm dan 1,985mm lebar yang secara keseluruhannya menampakkannya sebagai MPV sempurna. Pintu but belakang pintar yang boleh dibuka secara automatik menyerlahkan lagi ciri mewahnya.

Bahagian kabin direka kemas dengan peralatan berkualiti tinggi dan teknologi terkini. Grand Carnival dilengkapi sistem multimedia seperti pemain CD MP3 dengan enam pembesar suara dan sambungan USB serta AUX. Skrin sentuh TFT 4.3 inci disambungkan bersama kamera undur.

MPV lapan tempat duduk itu turut menawarkan ciri keselamatan terbaik, termasuk dilengkapi enam beg udara, pengesan parkir di bahagian depan dan belakang, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, Isofix dan Bantuan Mula Mendaki (HAC) yang menjadi ciri standard.

Semua varian ditawarkan dengan tiga warna pilihan iaitu 'Snow White Pearl', 'Aurora Black Pearl' dan 'Titanium Brown'.

Model generasi ketiga ini didatangkan dengan tiga varian iaitu 2.2D yang dijual pada harga atas jalan dengan insurans RM153,888, 2.2 CRDI KX (RM165,888) dan 2.2 CRDI EX (RM185,888).

Grand Carnival generasi pertama mula memasuki Malaysia pada 1999 sebelum dikenali sebagai Naza Ria pada 2003.

Sejak itu, sejumlah 15,000 unit sudah berada di jalan raya di seluruh negara.


MPV keluarga tampil lebih mewah. - Foto Supian Ahmad

Info:
Kia Grand Carnival

  • Harga atas jalan termasuk insurans tiga varian: 2.2D (RM153,888), 2.2 CRDI KX (RM165,888) dan 2.2 CRDI EX (RM185,888)
  • Enjin 2.2 liter CRDi VGT turbodiesel empat-silinder
  • Kotak gear automatik 6-kelajuan
  • 193 PS @ 3,800 rpm
  • Tork 440 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm
  • Lampu utama projektor halogen dengan lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus
  • Cermin sisi elektrik (dengan lampu isyarat LED)
  • Rim aloi 18-inci (Clear Silver bagi 2.2 CRDI KX, Machine Finieshed untuk 2.2 CRDI EX)
  • Varian 2.2 CRDI EX dilengkapi pintu tailgate berkuasa pintar yang boleh dibuka secara automatik apabila didekatkan dengan kunci (bukaan secara manual bagi varian 2.2D, 2.2 CRDI KX)
  • Kemasukan tanpa kunci (kunci standard bagi varian asas), rel bumbung (untuk varian tertinggi) dan pintu gelungsur elektrik (manual untuk varian asas)


Trending

    Disyorkan