Khamis, 20 April 2017 | 7:00am

Negara bela, hargai jasa veteran ATM


PANGLIMA Tentera Darat ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kanan) bersalaman dengan veteran pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Veteran Angkatan Tentera Malaysia Peringkat Kedah di Sungai Petani, Oktober lalu. - Foto fail NSTP/Eizairi Shamsudin

KERAJAAN amat prihatin terhadap sumbangan dan jasa veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), antaranya ialah penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM). Anugerah PJM adalah salah satu penghargaan oleh kerajaan terhadap jasa dan bakti yang dicurahkan terutama ketika darurat.

Tanggal 29 Mac lalu, buat kali pertama, 75 penerima terdiri daripada veteran ATM Kaum Sikh iaitu ahli Persatuan Veteran Sikh Angkatan Tentera Malaysia.

Penghargaan berkenaan diuruskan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV). JHEV bertanggungjawab memantau, mengurus dan mentadbir hal berkaitan pencen, kebajikan, sosioekonomi dan bantuan perubatan veteran ATM dan segala bentuk bantuan kepada isteri, balu dan anak-anak/waris veteran ATM.

Melalui jabatan ini, pelbagai usaha dilakukan, terutama berkaitan pengenalan dan pelaksanaan pelbagai Skim Bantuan Kebajikan dan Pendidikan kepada veteran ATM dan keluarga.

Ringan beban veteran ATM

Dalam usaha kerajaan meringankan beban veteran, Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperkenal 1Malaysia Veteran Home Repair Program (1MVHRP) iaitu program membaik pulih dan membina rumah baru kepada veteran ATM yang layak.

Projek ini membabitkan kerjasama Kementerian Pertahanan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membantu veteran atau balu ATM yang daif, dengan menyediakan kediaman lebih kondusif dan selesa.

Pada 2016, 84 buah rumah veteran dibaik pulih dan 57 rumah veteran dibina baharu, menelan belanja RM 3.6 juta.

Kerajaan begitu prihatin dan mengambil berat golongan veteran ATM. Banyak penambahbaikan bantuan telah dilaksanakan. Antaranya, bantuan ubat. Saya dimaklumkan bahawa Kontrak Perkhidmatan Pembekalan Ubat dan Alat Perubatan Oratix Rx kepada veteran ATM melalui sistem e-MASS tamat tempoh pada 27 Januari 2017 tetapi dilanjutkan sehingga 27 Februari lalu.

Namun begitu, sistem e-MASS tidak ditamatkan kerana sistem e-MASS adalah sistem yang menjadi hak milik JPA. Bagaimanapun, pihak veteran boleh membuat bayaran pembelian terlebih dahulu dan selepas itu membuat tuntutan bayaran balik ke JHEV dengan mengemukakan resit pembelian untuk membuat tuntutan atau menggunakan perkhidmatan GL daripada JHEV.

Perlu disebut, JHEV juga telah membuat perubahan dan penambahbaikan terhadap Skim Bantuan Kebajikan dan Pendidikan agar ianya lebih relevan mengikut peredaran masa. Ia meliputi bantuan yang meliputi perluasan Bantuan Persekolahan, Bantuan Bencana Alam, Bantuan Sara Hidup dan bantuan Kemasukan Ke Universiti Awam.

Salur pelbagai bantuan

Selain itu, wujud pelbagai penambahbaikan dan bantuan akan diberikan kepada veteran yang akan diumumkan pada masa yang ditetapkan. Pada 2016, kerajaan membelanjakan RM3.28 bilion khas kepada veteran melalui JHEV ATM bagi meringankan beban dan memberi keselesaan kepada veteran meliputi perbelanjaan:

  • Pencen, ganjaran dan faedah lain - RM3.06 bilion.
  • Skim bantuan kebajikan - RM25.82 juta.
  • Bantuan menguruskan jenazah - RM9.58 juta
  • Bantuan perubatan - RM102.67 juta.
  • Elaun Kenangan Pingat - RM1.36 juta.
  • Ex Gratia bencana kerja - RM8.96 juta.

Selain itu, JHEV juga melaksanakan program Jejak Veteran dan Program Jejak Kawan dijalankan untuk menjejaki kalangan veteran yang telah bersara.

Bagi Program Jejak Veteran ianya dijalankan dengan kerjasama JHEV ATM dan juga persatuan veteran bagi menjejaki veteran tentera untuk melihat sendiri masalah veteran ATM di seluruh negara yang kebanyakannya memerlukan pembelaan khususnya dalam kalangan mereka yang tidak berpencen.

Program Jejak Kawan pula dikoordinasikan oleh JRP bertujuan mengemaskini dan membersihkan senarai daftar pengundi awal ATM yang berhenti/bersara dikeluarkan daripada senarai Daftar Pemilih Induk Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dengan bantuan serta kerjasama dari markas-markas perkhidmatan.

Jumlah veteran yang dijejaki melalui Program Jejak Kawan ini dianggarkan 36,000 orang. Seterusnya, satu perhimpunan veteran secara besar-besaran yang akan dianjurkan oleh PVATM bagi tujuan show off force yang dianggarkan penyertaan veteran ATM seramai 10,000 sehingga 15,000 orang.

Bela kebajikan ATM

Pada tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM55 juta bagi Bayaran Insentif Khas Insurgensi kepada veteran ATM yang masih belum menerima insentif khas ini.

Ini adalah insentif baharu selain daripada Pencen Hilang Upaya sedia ada. Pengumuman ini jelas membuktikan keprihatinan kerajaan kepada nasib veteran ATM. Kami di Kementerian Pertahanan juga akan sentiasa berusaha mencari jalan bagi memastikan kebajikan veteran ATM terbela.

Banyak lagi agenda kebajikan yang perlu ditangani, saya serta Ketua Pengarah JHEV dan semua pegawai-pegawai Kementerian Pertahanan akan sentiasa memberi perhatian ke atas isu-isu yang sesuai dan boleh diketengahkan.

Pada masa sama, ianya bergantung kepada kemampuan pihak kerajaan. Apa yang penting adalah untuk veteran terus menyokong usaha-usaha baik kerajaan demi kesejahteraan negara. Hasrat dan tekad saya adalah ingin melihat veteran sebagai seorang pahlawan negara yang sentiasa terbela, dihormati dan dihargai.

Penulis ialah Timbalan Menteri Pertahanan

402 dibaca
Berita Harian X