Khamis, 20 April 2017 | 1:38am

Luxe Motorhomes and Caravans sasar jual 50 unit


MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif WTA Ventures Sdn Bhd, Mohd Arne Haffnee (dua kiri) pada majlis pelancaran motorhome "Benimar Mileo" di Shah Alam, pada Rabu. - Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Luxe Motorhomes and Caravans Malaysia sasar untuk jual sebanyak 50 unit motorhome "Benimar Mileo", yang muncul buat kali pertama kali dalam pasaran Malaysia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pengenalan motorhome di Malaysia adalah suatu pengalaman yang baharu dan berpotensi untuk mencipta lebih banyak peluang perniagaan yang akan membantu sektor kenderaan dan pelancongan.

"Hanya ada sebilangan kecil dalam negara ini walaupun motorhome ini mempunyai tarikan-tarikan yang banyak. Jumlah dagangan motorhome hanya kira-kira RM2 juta tahun lalu," katanya pada majlis pelancaran motorhome "Benimar Mileo" di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WTA Ventures Sdn Bhd, Mohd Arne Haffnee, berkata syarikat itu telah bekerjasama dengan pusat peranginan, hotel, taman negara dan kawasan latihan yang dilengkapi dengan kemudahan tersedia untuk ditukar menjadi lokasi perkhidmatan percutian motorhome.

"Kami mahu mempunyai lima kawasan percutian motorhome dalam setiap negeri menjelang tahun 2020," katanya.

Motorhome "Benimar Mileo", sangat sesuai untuk perniagaan dan percutian, tersedia dalam 13 model yang berbeza antara dua hingga enam tempat duduk, berharga daripada RM609,000 hingga RM650,000.

WTA Ventures adalah pengedar sah motorhome di Malaysia.

- BERNAMA

182 dibaca
Berita Harian X