Rabu, 24 Mei 2017 - 8:23AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Kaki Wilshere retak


PEMAIN tengah Bournemouth, Jack Wilshere mengalami tulang kaki retak ketika menentang Tottenham Hotspur, hujung minggu lalu. - Foto Reuters

LONDON: Pemain tengah Bournemouth, Jack Wilshere yang dipinjam dari Arsenal akan terlepas semua baki perlawanan musim ini selepas disahkan mengalami tulang kaki retak ketika pasukannya tewas 0-4 kepada Tottenham Hotspur, hujung minggu lalu.

Wilshere, yang berada dalam fasa 18 bulan terakhir kontrak di Emirates, akan menjalani rawatan susulan khas selepas ujian imbasan menunjukkan ada keretakan kecil pada keting kirinya.

Dia dijangka akan pulih sepenuhnya menjelang permulaan musim depan.

"Ini satu tamparan hebat apabila kami hilang Jack," kata Pengurus Bournemouth, Eddie Howe kepada laman web rasmi kelab itu (www.afcb.co.uk).

"Kami suka bekerja dengannya sejak dia tiba di kelab ini pada Ogos lalu. Dia memberikan sumbangan yang besar sepanjang musim ini, sama ada di padang atau di luar padang.

"Kami doakan dia pulih secepat mungkin dan terima kasih di atas segala usaha dan sikap profesional yang ditunjukkan sepanjang bersama kami," katanya.

Pemain antarabangsa England berusia 25 tahun itu membuat 27 penampilan untuk Bournemouth sepanjang musim ini selepas dipinjamkan dari kelab berpangkalan di Utara London - perpindahan paling besar dalam kariernya sejak musim 2013-2014. - REUTERS


Trending

    Disyorkan