Rabu, 19 April 2017 | 9:26pm
MODEL BMW 740Le xDrive pada majlis Pelancaran model BMW 740Le xDrive Serba Baharu di Menara KEN, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

BMW lancar 740Le xDrive serba baharu


Han Sang Yun (kanan) dan Ketua Jualan BMW Malaysia, Raymond Tan bersama model BMW 740Le xDrive pada majlis Pelancaran model BMW 740Le xDrive Serba Baharu di Menara KEN, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia sebentar tadi memperkenalkan BMW 740Le xDrive serba baharu, varian terkini BMW 7 Series di Malaysia.

Ketika memperkenalkan BMW 740Le xDrive Serba Baharu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Han Sang Yun, berkata sejak diperkenalkan awal tahun lalu, BMW 7 Series mendefinisikan semula idea pemanduan sedan mewah dalam dunia automotif premium.

"Di Malaysia, kami sudah menyerahkan lebih 600 unit BMW 7 Series sejak ia diperkenalkan. Ia jelas membuktikan tarikan limosin mewah ini.

"Kini, BMW 7 Series Hybrid serba baharu dengan Teknologi eDrive bukan saja menetapkan penanda aras yang lebih tinggi, malah menawarkan pelanggan dengan teknologi BMW eDrive paling maju yang kami bangunkan melalui kepakaran BMW i," katanya di sini.

Gabungan kemewahan moden pada BMW 7 Series dan falsafah masa depan BMW i dijelaskan ke dalam BMW 740Le xDrive serba baharu ini.

Ia menggabungkan inovasi terbaik enjin pembakaran dalaman dan sistem pacuan elektrik untuk menawarkan prestasi mengujakan bersama penjimatan bahan api serta emisi yang ketara.

BMW 740Le xDrive serba baharu itu dibekalkan dengan enjin empat silinder sebaris bersesaran 2.0 liter dengan kepakaran BMW TwinPower Turbo yang diambil daripada keluarga enjin EfficientDynamics BMW Group.

Menjadi enjin paling berkuasa pernah dipasang pada model siri keluaran BMW, enjin pembakaran dalaman itu mampu menjana kuasa maksimum 258hp dengan tork puncak 400Nm.

Dipadankan dengan transmisi Steptronic 8-kelajuan yang dioptimumkan, BMW 740Le xDrive serba baharu itu berupaya mencatat kelajuan maksimum 250 kilometer sejam (km/j).

Enjin baharu itu juga dilengkapi pelbagai teknologi seperti pengecas turbo TwinScroll yang digabungkan ke dalam pancarongga ekzos besi tuang, Pancitan Berketepatan Tinggi dengan tekanan maksimum 200 bar, double-VANOS untuk hamburan tork dan kuasa lebih padu, serta versi terkini teknologi VALVETRONIC paling maju.

Reka bentuk yang berpandangan jauh dan fungsi kreatif diserlahkan pada ruang kabin.

Bakal pembeli boleh menjangkakan inovasi sama yang ditawarkan pada penerima anugerah World Luxury Car of the Year 2016 ini, termasuklah ciri BMW Touch Display pada monitor dan BMW Gesture Control.

BMW 740Le xDrive serba baharu didatangkan dalam warna hitam (Black Sapphire); biru (Imperial Blue); putih (Mineral White); dan kelabu (Sophisto Grey).

Pada bahagian dalam pula, upholsterinya ialah kulit Nappa eksklusif bersama kemasan kayu berwarna kelabu (Poplar Grain Grey).

Harga runcit selepas insentif kelulusan hibrid kerajaan ialah RM598,800 seunit.

Harga runcit sebelum insentif kelulusan hibrid Kerajaan ialah RM853,800 seunit.

Berita Harian X