Khamis, 27 April 2017 - 4:59PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

KRISS MR2, taruhan baharu MODENAS

Oleh Mohd Zaky Zainuddin



REKA bentuk lebih sporty, tepati piawaian baharu Euro3. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

MOTOSIKAL dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), anak syarikat DRB-HICOM Bhd memperkenalkan model cub baharu, KRISS MR2 bagi memberi persaingan dalam segmen paling sengit dalam pasaran motosikal tempatan.

KRISS MR2 tampil dengan reka bentuk berani dan agresif selain dilengkapi dengan sistem gear berputar serta enjin yang mampu mencapai 8.3hp pada 7,500 rpm dan dan tork puncak 8.2Nm (5,500rpm)

Ciri lain termasuk lampu depan dan belakang yang lebih sporty, serta tangki minyak lebih besar berkapasiti 4.5 liter untuk membolehkan tunggangan sehingga 200 kilometer.

Ia juga memiliki ruang simpanan barang luas 6.6 liter serta ruang simpanan perkakasan di bawah tempat duduk.

Motosikal itu ditawarkan pada harga RM3,890 seunit.

Walaupun KRISS MR2 yang dipadankan dengan enjin 4-lejang SOHC bersesaran 110cc ini hanya tergolong dalam kategori 'kapcai', ia turut mematuhi piawaian Euro 3.

KRISS MR2 adalah model pengganti bagi MR1 yang diperkenalkan pada tahun 2011.


KRISS MR2 dengan reka bentuk berani dan agresif. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

MODENAS yakin KRISS MR2 mampu membantu syarikat meningkatkan bahagian pasarannya kepada 10 peratus menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Amirudin Abd Kadir berkata, keyakinan itu disokong permintaan yang meningkat untuk motosikal mampu milik dalam keadaan ekonomi semasa.

"Kami percaya enjin empat lejang berkuasa 110cc, yang menepati piawaian baharu Euro3 akan menjadi daya tarikan kepada generasi muda yang mencari keseimbangan antara motosikal berkuasa dan nilai untuk wang," katanya pada majlis pelancaran KRISS MR2 di Shah Alam, minggu lalu.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Bahagian Automotif, Pembuatan dan Kejuruteraan DRB-HICOM, Datuk Abdul Harith Abdullah.

MODENAS menyasar untuk mencapai jualan keseluruhan 60,000 unit di pasaran tempatan dan serantau menjelang akhir tahun ini.

Dalam tahun kewangan 2015/16 MODENAS menjual 39,725 unit motosikal dengan menguasai lapan peratus pasaran tempatan.


LAMPU belakang yang lebih sporty. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Info:
MODENAS KRISS MR2

  • Harga tidak termasuk GST RM3,890 seunit
  • 8.3kw pada 7,500rpm
  • Rim aloi bersaiz 17-inci bersama brek cakera hadapan
  • Paparan meter manimalis
  • Ruang simpan barang di bawah tempat duduk dengan kapasiti 6.6L
  • Jaminan 2 tahun atau 20,000km (mana-mana tiba dahulu)

PANEL meter.
MODENAS menyasar untuk mencapai jualan keseluruhan 60,000 unit di pasaran tempatan dan serantau menjelang akhir tahun ini. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Trending

    Disyorkan